Anuar Zain Paling Mahal

KUALA LUMPUR 12 Julai – Penyanyi terkenal, Anuar Zain dikatakan antara artis tempatan yang menerima bayaran tertinggi untuk satu-satu persembahan makan malam dengan nilai kira-kira RM50,000.

Bagaimanapun, difahamkan, bayaran bagi setiap persembahan penyanyi yang popular menerusi lagu Sedetik Lebih itu bergantung kepada jumlah lagu yang dinyanyikan.

Khabarnya, untuk persembahan sebanyak tiga lagu, bayaran kepada Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain, 42, mampu mencecah lebih RM20,000 dengan menggunakan minus one.

Sementara Datuk Siti Nurhaliza pula dikatakan menerima bayaran antara RM30,000 hingga RM35,000 untuk sesebuah persembahan.

Penyanyi Misha Omar dan Adibah Nor pula dikhabarkan menerima bayaran kira-kira RM15,000 untuk setengah jam persembahan menggunakan minus one.

Bayaran kepada artis tempatan adalah berbeza mengikut acara dan kebiasaannya mereka menerima bayaran tinggi bagi persembahan sebuah majlis makan malam.

Khabarnya untuk penampilan di televisyen (TV), Astro merupakan antara stesen TV yang menyediakan bayaran yang tinggi mengikut gred artis yang ditetapkan iaitu antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi artis gred A.