Al Wasl pecat Maradona

DUBAI – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona dipecat sebagai jurulatih Al Wasl hanya setahun selepas membimbing kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Pemecatan jurulatih berusia 51 diumumkan oleh Al Wasl dalam satu kenyataan media, semalam.

Maradona yang dilantik pada Mei, 2011, tidak lama selepas hilang jawatan jurulatih skuad kebangsaan Argentina, berada di kedudukan tidak menentu ekoran kegagalannya membantu kelab berkenaan memenangi sebarang trofi, musim lalu.

Malah kedudukannya semakin tidak selamat selepas ahli lembaga pengarah kelab yang bertanggungjawab melantik Maradona telah meletak jawatan ekoran kempen hambar Al Wasl dan pengganti mereka memutuskan untuk memecat jurulatih itu selepas mesyuarat, semalam.

“Hasil daripada mesyuarat yang diadakan oleh ahli lembaga baru Al Wasl Footbal Company hari ini (semalam), pertemuan yang dibuat untuk menilai kakitangan teknikal di bawah kepimpinan jurulatih, Diego Maradona, kami telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatannya dan seluruh staf teknikal,” kata kenyataan kelab itu.

Maradona, yang diiktiraf sebagai antara penyerang terbaik dunia pada zaman kegemilangannya dan menjulang Argentina muncul juara Piala Dunia 1986 dan 1990, memiliki baki kontrak setahun lagi bersama Al Wasl. – AFP