AFC Sahkan Terima Bantahan dan OKS Nafi Letak Jawatan

JIKA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersikap telus, pihak yang melakukan kesalahan sudah pasti tidak terlepas daripada hukuman.

Jika berlaku permainan politik, yang bersalah akan terlepas tanpa sebarang tindakan.

Mungkin itu ungkapan lebih sesuai buat AFC agar bersikap lebih telus dalam mengendalikan sesuatu aduan atau protes.

Isu terbaharu melibatkan aduan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendakwa pasukan Myanmar telah melanggar peraturan dengan menurunkan pemain melebihi had umur pada pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang dihoskan oleh mereka minggu lepas.

Semalam, AFC telah mengesahkan bahawa mereka telah menerima aduan rasmi yang pertama daripada FAM berhubung kontroversi skuad bawah 22 tahun Myanmar yang menggunakan pemain melebihi usia.

Sumber dalaman AFC mendedahkan, mereka akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Jawatankuasa Disiplin AFC bagi meneliti segala dakwaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Kami telah menerima aduan rasmi daripada pihak FAM pada 3 Julai lalu.

“Buat masa ini, kami akan mengadakan satu mesyuarat bersama jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan penipuan umur di dalam pasukan bawah 22 tahun Myanmar pada aksi Piala AFC (bawah 22 tahun) baru-baru ini.

“AFC tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi tetapi kami akan mengkaji segala data-data dan maklumat berhubung pemain yang dikaitkan melebihi usia yang ditetapkan pada kejohanan tersebut sebelum memutuskan sebarang tindakan.

“Kami akan menunggu keputusan daripada lembaga disiplin AFC berhubung hal ini,” kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan bahawa FAM telah menghantar aduan rasmi pertama.

Namun, Selepas tempoh 48 jam berakhir 7 petang semalam, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan sekretariatnya tidak menghantar sebarang surat bantahan rasmi (kedua) kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). “Kami tidak boleh semata-mata membuat bantahan menggunakan bukti-bukti daripada pihak ketiga (media) atau laman-laman web. Selepas meneliti senarai pendaftaran AFC, kami dapati memang terdapat nama sama tetapi mereka individu berbeza. “Jadi FAM tidak mempunyai bukti kukuh untuk membuat bantahan. Penjelasan lanjut akan diberikan pada sidang media khas esok (hari ini),” kata Azzuddin ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, impian skuad negara untuk mara secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC bawah 22 tahun lebur apabila tewas 1-2 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan G.

Tinjauan dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu www.fifa.com dan kelab Yangong United (www.ygnutd.com) mendapati Myanmar membariskan empat pemain melebihi usia 22 tahun pada kempen kelayakan tersebut.

Penjaring dua gol Myanmar ketika menentang Harimau Muda iaitu Kaung Si Thu berusia 25 tahun.

Sementara itu, JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Ong Kim Swee menafikan beliau akan meletakkan jawatan dan menyifatkan berita yang timbul selepas kegagalan pasukannya di Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon itu sekadar spekulasi.

Beliau yang terkejut dengan berita yang tersebar luas di laman sosial menyatakan mahu berehat seketika sebelum memikirkan hala tuju pasukan muda yang dibentuknya itu.

“Bagi saya berita itu tidak benar, ia hanyalah spekulasi. Buat masa ini saya mahu meluangkan masa bersama keluarga. Mungkin selepas dua tiga hari saya akan kembali merancang mengenai pasukan muda ini.

“Pasukan ini dibentuk untuk melayakkan diri ke Piala Asia tahun depan dan sasaran itu tidak berjaya, jadi saya perlu tahu apakah hala tuju pasukan selepas ini,” katanya.

Malaysia gagal merebut slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-22 tahun depan selepas tewas 1-2 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan G Selasa lalu. Myanmar yang menamatkan kempen di tangga kedua mengiringi juara kumpulan Korea Selatan ke pusingan seterusnya.

Ketika ditanya mengenai bantahan rasmi terhadap pasukan Myanmar kerana menurunkan pemain lebih umur, jurulatih berusia 41 tahun kelahiran Melaka itu menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat tindakan.

Laporan bantahan pertama sudah dihantar kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebaik tamat perlawanan dengan Myanmar namun FAM perlu membuat laporan bantahan rasmi kedua dalam tempoh 48 jam selepas tamat perlawanan itu.

Jika benar Kim Swee membuat tindakan drastik mahu melepaskan jawatan itu, ia satu kerugian besar buat negara memandangkan beliau dianggap ‘pencari bakat’ terbaik di kalangan jurulatih tempatan.

Selain membawa skuad Olimpik negara berada di kalangan 12 pasukan terbaik Asia apabila layak beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London dan menjuarai pingat emas Sukan Sea tahun lalu, beliau juga berjaya mencungkil ramai bakat baru.

Kim Swee antara watak penting yang mengetengahkan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada Sukan Sea sehingga berjaya mendapat kontrak bersama kelab Portugal SC Beira-Mar. Selain itu dua lagi pemain Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria bakal menjalani percubaan dengan kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu dalam tempoh terdekat ini.