12 Orang Rompak RM3.8 Juta Dicekup

SERI ALAM: Dua lelaki yang menyamar kakitangan syarikat keselamatan mengugut untuk mencucuh pemandu van syarikat keselamatan dengan cota elektrik sebelum melarikan wang tunai RM3.8 juta di depan sebuah pusat beli-belah di bandar Seri Alam, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, lima kakitangan syarikat keselamatan berkenaan dikatakan ke pusat beli-belah bagi memasukkan wang ke mesin juruwang automatik (ATM), jam 9.30 pagi.

Sumber polis berkata, empat daripada lima kakitangan syarikat keselamatan yang bersenjata api kemudian masuk ke pusat beli-belah berkenaan untuk memasukkan wang ke mesin ATM.

“Pemandu van tidak mengikuti rakan mereka dan hanya menunggu di dalam kenderaan berkenaan. Bagaimanapun, kurang 10 minit kemudian, pemandu van terbabit mendakwa dia dihampiri dua lelaki lingkungan 30-an yang memakai pakaian keselamatan sama.

“Dua lelaki itu menariknya keluar dan mengugut akan mengenakan renjatan elektrik terhadapnya jika dia melawan. Suspek kemudian melarikan van keselamatan itu yang dipercayai membawa 14 karung berisi wang tunai,” katanya.

Menurutnya, pemandu van berkenaan dibiarkan di luar van tanpa dicederakan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, setakat ini 12 individu berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan.

“Sejurus kejadian, kami melancarkan operasi khas termasuk sekatan jalan raya dan semua 12 suspek ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan diterima,” katanya.

Menurutnya, semua 12 suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.