12 maut helikopter tentera udara Brunei terhempas

BANDAR SERI BEGAWAN – Sejumlah 12 petugas tentera terbunuh apabila sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Brunei terhempas dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kadet tentera yang diterbangkan pulang selepas menjalani latihan di hutan.

Kementerian Pertahanan Brunei menyatakan, helikopter Bell 212 itu terhempas di daerah Kuala Belait, pedalaman Brunei ketika dalam perjalanan menuju ke sini kelmarin.

“Seramai 12 orang maut dalam nahas ini. Dua kadet tentera terselamat,” kata jurucakap tentera udara Brunei, Norudin Salleh.

Ketika nahas berlaku, helikopter tentera itu membawa 14 orang termasuk juruterbang.

Kementerian Pertahanan berkenaan tidak menyatakan punca nahas berlaku.- Agensi