Zizan sayang Jue

HUBUNGAN akrab antara aktres muda Juliana Evans atau Jue dengan aktor, pelawak dan pengacara popular Zizan Razak sudah lama diketahui khalayak semenjak mereka membintangi filem Hantu Bonceng. Namun, baik Jue mahupun Zizan tidak pernah memberi pengesahan secara rasmi tentang status hubungan mereka. Jawapan klise yang diberikan hanyalah sebagai teman rapat sahaja.

Bagaimanapun kemesraan luar biasa antara Jue dan Zizan disaksikan Kosmo! ketika mereka bertemu sempena ulang tahun kedua Mesra Mall di Kerteh, Terengganu yang turut menayangkan filem terbaharu lakonan mereka iaitu Mael Lambong.

Pertemuan tersebut merupakan yang pertama kali selepas lima bulan Jue meninggalkan tanah air demi menggenggam segulung ijazah dalam bidang pengajian filem, video dan media di Universiti Michigan, Amerika Syarikat. Jue pulang ke tanah air pada minggu lalu kerana cuti musim panas dan akan berada di Malaysia sehingga Aidilfitri ini.

Pengakuan tidak pernah terungkap di bibir masing-masing, namun tingkah laku dan lirik mata ketika ditemu bual tidak dapat menyembunyikan perasaan sebenar mereka berdua. Apabila ditanya rindu atau tidak kala berjauhan, jawapan yang diberi juga cukup jujur.

Sambil memandang Zizan, 28, yang berada di sebelahnya, Jue berkata: “Memang rindu sebab lama tidak jumpa. Ini kali pertama kami berjumpa selepas saya pulang ke Malaysia. Sebelum ini, Zizan sibuk dengan penggambaran filem Bikers Kental di Thailand. Kami belum sempat berborak panjang lagi.”

Jue dan Zizan hanya tertawa dan saling berpandangan apabila disoal apakah hadiah yang dibawa pulang Jue untuk Zizan dan apakah kejutan yang dilakukan oleh Zizan kepadanya.

“Memang saya ada beli hadiah untuk dia, saya tidak boleh beritahu, saya ada simpan di rumah. Kejutan dia untuk saya, mana boleh beritahu, rahsia,” ucap Jue malu-malu.

Jue dan Zizan yang sudah berkenalan selama lima tahun masih memilih untuk mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai teman rapat, meskipun kedua-dua mereka sudah bertemu dengan keluarga antara satu sama lain. Zizan juga tanpa berselindung memberitahu, dia menyayangi Jue.

“Saya sayangkan Jue tetapi masih ada pagar. Betul, saya pernah jumpa keluarganya, ibunya banyak beri saya nasihat. Begitu juga dengan Jue, dia pernah jumpa ibu bapa saya. Ibu saya suka dan senang dengan Jue,” kata Zizan tanpa berselindung.

Jue juga memberitahu, keluarga tidak membantah persahabatannya dengan Zizan, malah ibunya juga cukup senang terhadap perhubungan mereka.

“Mungkin sebab Zizan selalu tolong saya dan kami rapat, jadi keluarga saya juga baik dengannya. Zizan baik, selalu mengambil berat tentang diri saya, dia kelakar. Siapa yang tidak suka dengan dia (ketawa),” seloroh Jue yang membawakan watak seorang ejen perisik bernama Maria dalam filem Mael Lambong.

Fokus pada pengajian

Jue yang berusia 23 tahun bagaimanapun memberitahu dia belum bersedia untuk mempunyai komitmen dalam sebarang hubungan cinta kerana ingin memberi fokus terhadap pengajiannya yang akan tamat pada tahun 2014.

“Sebenarnya, saya tidak percaya pada cinta jarak jauh. Kalau saya bercinta dengan Zizan sekali pun, kami masing-masing sibuk dan berjauhan, saya lebih pentingkan pelajaran. Zizan kata mahu kahwin sebelum umur 30 tahun, jadi saya tidak masuk dalam senarai.

“Saya belum tentu akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian kerana saya ingin bekerja dan menimba pengalaman di sana terlebih dahulu. Memang kami selalu berhubung, tetapi kalau sibuk kami buat hal masing-masing. Jika bercinta, saya akan terikat dengan komitmen dan saya belum bersedia,” ujar Jue yang bakal menjalani penggambaran filem Dampak pada hujung bulan ini.

Jawab Zizan pula, dia juga memikirkan hal yang sama. Kesibukan jadual kerjanya membataskan dia untuk menyulam cinta dengan mana-mana gadis. Buat masa ini, fokusnya hanya pada kerjaya yang sedang berkembang.

“Alhamdulillah, saya tengah seronok bekerja. Siang dan malam, saya hanya bekerja sampai sakit. Saya tidak mahu kalau saya ada kekasih, dia akan rasa terabai kerana jika bekerja, telefon pun saya tidak pegang, jadi saya tidak mahu perkara itu berlaku. Lebih baik tidak terikat dengan sesiapa,” beritahunya yang saling berhubung dengan Jue menerusi Twitter dan juga telefon