Wanita telan 55 ketulan dadah

KUALA LUMPUR – Cubaan kali ke-11 seorang wanita Togo, Afrika Barat yang dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket untuk menyeludup syabu bernilai RM200,000 ke negara ini gagal apabila dia diberkas sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Bangkok, Thailand.

Wanita berusia 47 tahun tersebut ditahan pada pukul 8.30 malam, 30 Mei lalu bersama 55 ketulan dadah seberat 750 gram yang ditelan. Suspek dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak empat tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan wanita itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek telah masuk ke negara ini sebanyak 10 kali sejak 2008 dan polis masih menyiasat tujuannya.