Terbaik tapi terpinggir

DI sebalik kejayaan pemain terbaik 16 negara menempatkan diri dalam skuad Euro 2012, ada di antara mereka diketepikan meskipun dianggap antara yang terbaik di Eropah. Ini adalah ‘kesebelasan pertama’ yang tidak akan anda saksikan di Poland dan Ukraine, hujung minggu ini.

Penjaga gol, David de Gea (Sepanyol)

Penjaga gol Manchester United itu gagal menyertai skuad Sepanyol untuk Kejohanan Eropah di Poland dan Ukraine. Ketua jurulatih, Vicente del Bosque memilih barisan yang lebih berpengalaman iaitu Iker Casillas, Pepe Reina dan Victor Valdes

Pertahanan, Daniel Majstorovic (Sweden)

Pemain berusia 35 tahun yang baru-baru ini mengumumkan akan meninggalkan Celtic untuk menyertai AIK di Stockholm gagal menyertai pasukan meskipun baru pulih daripada kecederaan ligamen.

Pertahanan, Rio Ferdinand (England)

Bek tengah United itu dipinggirkan daripada skuad England Roy Hodgson yang memilih John Terry meskipun Ferdinand mempunyai prestasi lebih membanggakan sepanjang musim ini.

Pertahanan, Micah Richards (England)

Pertahanan Manchester City itu diketepikan Hodgson untuk memilih pemain Liverpool, Martin Kelly yang jarang ditampilkan dalam kesebelasan utama skuad Merseysiders yang menamatkan Liga Perdana Inggeris di tangga ketujuh berbanding City selaku juara.

Pertahanan, Domenico Criscito (Itali)

Pertahanan Zenit Saint Petersburg menarik diri daripada kem Itali, 24 jam sebelum jurulatih Cesare Prandelli mengumumkan skuad terakhirnya selepas terbabit dalam penyiasatan skandal mengatur perlawanan yang sekali lagi membayangi bola sepak Itali menjelang kejohanan besar.

Tengah, Michael Carrick (England)

Pemain tengah United menarik diri daripada menyertai final skuad Euro 2012 kerana tidak mahu menjadi pemain skuad itu.

Tengah, Keith Fahey (Republik Ireland)

Pemain tengah Birmingham City berdepan masalah pangkal paha menjelang perlawanan persahabatan Ireland dengan Bosnia-Herzegovina dan hasil imbasan selepas perlawanan mengesahkan dia tidak akan beraksi di Euro 2012.

Tengah, Yoann Gourcuff (Perancis)

Pemain tengah Lyon, yang menempuhi musim ini dengan kecederaan diketepikan jurulatih Laurent Blanc yang sebaliknya memilih Yohan Cabaye, Alou Diarra, Florent Malouda, Marvin Martin, Blaise Matuidi, Yann M’Vila dan Samir Nasri.

Tengah, Royston Drenthe (Belanda)

Pemain tengah Everton yang dipinjamkan gagal menyertai pasukan negaranya apabila jurulatih Bert van Marwijk meletakkan pemain tengah berkualiti seperti Mark van Bommel, Nigel de Jong, Stijn Schaars, Wesley Sneijder, Kevin Strootman dan Rafael van der Vaart.

Penyerang, Adrian Lopez (Sepanyol)

Penyerang Athletic Bilbao gagal menyertai pasukan selepas penyerang Barcelona, Pedro disenaraikan ketua jurulatih Vicente del Bosque apabila menjaringkan dua gol dalam final Copa de Rey.

Penyerang, Cacau (Jerman)

Penyerang kelahiran Brazil, Cacau dibenarkan pergi bercuti selepas Joachim Loew memilih hanya tiga penyerang iaitu Miroslav Klose, Mario Gomez dan Lukas Podolski ke pusingan akhir.