‘Sila jumpa kami’

KLANG: “Cuma saya pesan jangan jadi jantan dayus, tolonglah datanglah jumpa kami,” hanya itu mampu diluahkan dalam nada sedu, Khairunnissa Mustaghni, 20, anak perempuan anggota polis trafik yang koma akibat dilibas dengan topi keledar oleh Mat Rempit, di sini, Ahad lalu.

Ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, semalam, anak bongsu daripada dua beradik itu turut sebak ketika mengingatkan kembali ayahnya, Koperal Mustaghni Tabri, 48, yang terdetik sesuatu perkara seperti berlaku sekarang.

“Masa itu kami tengok cerita Korea ada adegan pelakonnya koma. Abah kata kalau dia koma macam itulah jadinya,” katanya yang tak dapat menahan sebak.

Isteri Mustaghni, Norizan Shahidin, 53, pula berkata, dia bagaikan mendapat sinar harapan apabila doktor memberitahu suaminya sudah boleh menerima cecair makanan menerusi tiub.

Sebelum ini, katanya, apabila cecair itu dimasukkan tindak balas negatif apabila keluar kembali kerana badan suami tak dapat menerima.