Shahrizat bebas skandal NFC

KUALA LUMPUR – Panel Penilaian Operasi (PPO), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengumumkan, pihaknya telah menutup siasatan pemberian pinjaman sebanyak RM250 juta kepada Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) melibatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Keputusan tersebut dibuat setelah siasatan PPO SPRM mendapati tiada sebarang unsur salah guna kuasa oleh bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu terhadap syarikat yang dikendalikan ahli keluarganya itu.

Pengerusi PPO, Tan Sri Datuk Dr. Hadenan Abdul Jalil berkata, siasatan terhadap NFC terbahagi kepada dua aspek iaitu siasatan polis dan pembabitan Shahrizat dalam proses pinjaman RM250 juta.