Rio dikecewakan sekali lagi

Wakil Rio Ferdinand berkata beliau kecewa dengan layanan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak dan pengurus England, Roy Hodgson terhadap beliau.

FA mengesahkan pada awal hari Ahad bahawa Gary Cahill tidak akan dapat beraksi di Euro 2012 akibat kecederaan rahang yang dialami dalam kemenangan atas Belgium di Wembley pada hari Sabtu.

Ini bermakna Hodgson mempunyai satu lagi ruang untuk mengisi dalam skuad beliau. Beliau telah pun memanggil Phil Jagielka, yang berada di senarai pemain ‘standby’, untuk menggantikan Gareth Barry yang cedera minggu lepas.

Ferdinand, 33, kelihatan menjadi pilihan yang jelas memandangkan pengalaman luas beliau, satu faktor yang England telah kehilangan begitu banyak berikutan kecederaan kepada Barry dan Frank Lampard minggu lalu.

Tetapi Hodgson akhirnya memilih pemain muda Liverpool Martin Kelly, yang membuat penampilan pertama beliau untuk pasukan antarabangsa dalam dua minit terakhir dalam perlawanan menentang Norway pada 26 Mei lalu.

Hodgson menghadapi banyak soalan apabila menamakan skuad Euro beliau pada 16 Mei lalu, mengenai sama ada beliau tidak memilih Ferdinand kerana kehadiran John Terry.

Dan ternyata kini Ferdinand dan wakil-wakilnya rasa Hodgson tidak memilih beliau bukan atas “sebab-sebab bola sepak”, alasan yang Hodgson telah memberikan sebelum ini.

Wakil Ferdinand,Jamie Moralee berkata: “Lampard, Terry, Barry, Gerrard; mereka semua berumur 30 ke atas, tetapi mereka tetap pergi ke kejohanan itu.

“Mengapa berbeza dengan Rio?

“Untuk melayan seorang pemain yang pernah menjadi kapten dan membuat 81 penampilan untuk pasukan kebangsaan seperti ini sangat mengecewakan. Hodgson dan FA langsung tidak menghormati beliau.”

Kelly, yang hanya membuat 12 penampilan dalam liga untuk Liverpool musim lepas, sangat teruja mendapat peluang ini.

Tetapi setelah kehilangan jumlah banyak pengalaman (143 penampilan untuk pasukan kebangsaan) minggu lepas apabila Lampard dan Barry cedera, dan kemudian berkata beliau sangat kecewa kehilangan mereka, ia sukar untuk mempercayai Hodgson telah mengabaikan Ferdinand, yang telah membuat 38 penampilan musim lepas dan memulakan 16 perlawanan liga terakhir United, atas “sebab-sebab bola sepak”.