Remy Enggan Ulas, Mahu Komen Pasal Karier

“Masuk hospital, demam panas. Call girlfriend tetapi dapat layanan macam sampah. Nasib badan,” – itu luahan perasaan Remy Ishak di akaun Twitternya baru-baru ini. Kenyataan itu telah mengundang spekulasi di kalangan peminat Remy dan juga buah hatinya, Tiz Zaqyah. Ramai yang berpendapat, hubungan pasangan ini sedang bergolak dan berkemungkinan juga sudah terputus.

Dalam satu sidang media baru-baru ini Tiz Zaqyah telah pun memberikan komen kepada pihak media. Walaupun Tiz enggan mengulas lanjut, tetapi jawapan yang diberikan olehnya  cukup mendalam maknanya. Jelas Tiz, Remy yang ‘sakit’, jadi dia biarkan sahaja. Dalam masa yang sama, Tiz juga menafikan dia menulis status twitter yang kononnya mengata Remy suka meraih simpati.

Oleh kerana jawapan Tiz itu agak samar-samar, GUA telah menghubungi Remy untuk mengetahui kedudukan sebenarnya. Bagaimanapun, Remy mengambil pendekatan yang sama dengan Tiz. Dalam nada suara yang kurang senang, hero filem Cun! ini memberitahu dia tidak suka hendak mengulas tentang status akaun Twitternya itu.

“Tidak perlulah hendak besar-besarkan perkara ini. Macam yang pernah saya katakan dahulu, saya tidak suka  berkongsi kisah-kisah peribadi. Kalau hendak cerita tentang perkembangan karier, saya tidak ada masalah. Sekarang ini saya sedang sibuk dengan promosi dua buah filem iaitu filem Aku Kau & Dia dan Jiwa Taiko. Memandangkan sekarang ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran, saya akan cuba ke ke setiap lokasi promosi,” ujar Remy menerusi perbualan telefon.

Mengulas tentang tahap kesihatannya pula, Remy memberitahu kesihatannya kini beransur pulih. Namun, dia perlu menjalani pemeriksaan doktor untuk rawatan susulan.

“Apa yang boleh saya katakan, tahap kesihatan saya sekarang ini semakin pulih. Tapi, saya perlu berjumpa dengan doktor untuk rawatan susulan. Rasanya tidak perlulah bercerita banyak sangat tentang sakit saya ini sebab ia terlalu peribadi. Biar saya simpan untuk diri sendiri sahaja,” ulas Remy mengakhiri perbualan. – gua.com.my