Rakyat kita ditahan pemberontak di Mesir

KUALA LUMPUR: Percutian bersama suami tercinta dan sekumpulan pelancong lain di selatan Mesir, membawa malang kepada seorang rakyat Malaysia berusia 33 tahun selepas ditahan kumpulan pemberontak di negara itu, semalam.

Mangsa, Norbazrina Yazid, 33, berasal dari Shah Alam, Selangor itu mengembara bersama suaminya, seorang rakyat negara Eropah ditahan dalam satu sekatan jalan oleh kumpulan pemberontak berkenaan.

Sumber berkata, kumpulan itu bertindak demikian berikutan tindakan pihak berkuasa negara berkenaan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas presiden negara terbabit, Hosni Mubarak, dua hari lalu.

Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir belum dapat memastikan lokasi penahanan kerana mangsa masih gagal dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra mengesahkan mengenai kejadian berkenaan namun menafikan maklumat mangsa dan pelancong lain dijadikan tebusan oleh kumpulan pemberontak.

Menurutnya, mereka hanya terkandas di Abu Simbel selepas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan akibat tindakan kumpulan peladang yang membantah hukuman ke atas Hosni.