Rajagobal pertaruh skuad terbaik

GELANGGANG sahaja berbeza tetapi misi tetap sama. Demikian jaminan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi persahabatan kedua menentang Singapura di Stadium Shah Alam malam ini.

Meskipun ia sekadar satu perlawanan persahabatan, Rajagobal tetap berhasrat menurunkan skuad terbaik selepas sekadar seri 2-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura, Jumaat lepas.

“Jika ada sebarang pertukaran pun, saya rasa ia hanya membabitkan satu dua pemain, bergantung kepada sesi latihan terakhir.

“Saya rasa tidak perlu membuat rombakan besar-besaran meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.

Rajagobal memberitahu, ketika ini Wan Zack Haikal Wan Nor hampir pasti tidak dapat diturunkan gara-gara kecederaan hamstring kanan, manakala Ashaari Shamsuddin dan Mohamad Azmi Muslim pula masih belum cergas sepenuhnya.

“Saya juga yakin pemain tidak tertekan beraksi di gelanggang sendiri, dan saya harap pemain dapat mengikuti arahan, sekali gus melakar kemenangan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kredibiliti pengadil malam ini ekoran keputusan kontroversi pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam semasa aksi di Stadium Jalan Besar tempoh hari, jelas Rajagobal: “Saya sebenarnya lebih gemar memikirkan pasukan berbanding hal-hal lain.

“Cuma, saya harap pengadil (malam ini) dapat mengendalikan perlawanan dengan baik.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak berazam untuk meledak gol malam ini sebagai penebus kekecewaan gara-gara terlibat dengan kontroversi bersama Kai Lam sehingga dilayangkan kad kuning tempoh hari.

“Barang yang lepas usahlah dikenang, saya hanya mahu memberikan yang terbaik termasuk menjaringkan gol sekiranya mendapat kepercayaan jurulatih,” katanya.

Anda boleh saksikan perlawanan ini menerusi live streaming dsini