Pesawat angkasa lepas AS mendarat tanpa juruterbang

LOS ANGELES – Sebuah pesawat angkasa lepas tanpa juruterbang milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), X-37B mendarat di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg di California kelmarin selepas 15 bulan berada di angkasa lepas.

Kapal angkasa itu berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida pada Mac tahun lalu.

Kapal angkasa seberat 4,989 kilogram dan panjang 8.8 meter itu dibina oleh syarikat Boeing.

Projek membina kapal angkasa itu telah bermula pada tahun 1999.

Ia dihantar ke angkasa lepas untuk menguji teknologi baharu tentera AS.

Projek rahsia itu telah mencetuskan spekulasi tentang peranan X-37B dalam tentera AS dengan sebahagian pendapat menyatakan ia akan digunakan untuk tujuan mengintip dan menghantar satelit kecil.

Kapal angkasa itu direka bagi membolehkan ia berada di angkasa lepas selama 270 hari. – Agensi