Pengasuh ada rekod jenayah

BATU PAHAT – Lanjutan kes ini. Seorang bapa semalam meluahkan rasa terkilan apabila menyatakan yang anak perempuannya mungkin hidup lagi sekiranya tidak diserahkan kepada seorang pengasuh yang kini direman kerana disyaki membunuh mangsa.

Lim Aik Zheng, 38, memberitahu, dia menghantar bayinya, Lim Xiu Yao (gambar kecil), empat bulan, untuk dijaga pengasuh berusia 42 tahun terbabit selepas diperkenalkan oleh salah seorang saudaranya Mac lalu.

Kata penyelia sebuah kilang itu, dia membayar suspek sebanyak RM800 sebulan untuk dijaga di rumah wanita tersebut yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Saya pasti tidak akan hantar bayi saya kepadanya jika mengetahui yang dia mempunyai rekod jenayah. Saya dan isteri difahamkan, pengasuh terbabit merupakan ibu tunggal yang sudah menjaga ramai kanak-kanak,” ujarnya ketika ditemui semasa lawatan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff di rumahnya di Taman Banang Jaya, Batu Pahat semalam.