Pekerja kilang kena tanggung hutang 250 Ribu

KUALA LUMPUR – Seorang operator kilang kini bingung memikirkan nasibnya apabila diburu beberapa bank tempatan selepas kad pengenalannya yang hilang 18 tahun lalu, didakwa telah digunakan oleh individu lain untuk membuat empat pinjaman perumahan dan empat kad kredit berjumlah RM250,000.

Mangsa, Noor Lela Nazri, 40, berkata, kad pengenalan tersebut hilang selepas beg tangannya diragut pada tahun 1994 di Taman Melewar, Gombak.

Ceritanya, dia mula menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas menerima surat mengenai tunggakan hutang kad kredit daripada sebuah bank berjumlah RM22,500 pada tahun 2004.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia kemudian membuat laporan polis mengenai perkara itu.

“Pada awalnya, saya sangka masalah itu akan selesai tetapi sekali lagi saya mendapat surat daripada sebuah lagi bank menyatakan saya mempunyai satu pinjaman perumahan berjumlah RM80,705 pada 29 Jun 2006,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di sini semalam.

Bimbang masalah tersebut semakin serius, Noor Lela lantas mengajak suaminya, Mat Saad Karim, 41, pergi ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat aduan pada tahun 2009.