Padah Buat Jerman Bila Balotelli Menjadi

Penyerang Itali Mario Balotelli menjaringkan dua gol hebat untuk bantu pasukannya tewaskan Jerman di separuh akhir Euro 2012 di Warsaw.

Itali mengejutkan pasukan kegemaran Jerman dan kini akan bertemu Sepanyol di perlawanan akhir  di Kiev pada hari Ahad.

Itali mendahului perlawanan pada minit ke-20 apabila Balotelli menanduk masuk hantaran Antonio Cassano, yang berjaya melepasi dua pemain Jerman di sayap kiri.

Penyerang Manchester City itu menjaringkan gol kedua beliau dan pasukannya 16 minit kemudian apabila beliau melepasi perangkap ofsaid benteng pertahanan Jerman untuk menerima hantaran hebat Riccardo Montolivo dan kemudian merembat bola melepas penjaga gawang jerman Manuel Neuer yang tidak dapat membuat apa-apa.

Jerman membuat dua penukaran di separuh masa kedua dengan Miroslav Klose dan Marco Reus menggantikan Mario Gomez dan Lukas Podolski untuk cuba bangkit.

Tetapi Itali yang mempunyai lebih banyak peluang baik untuk menjaringkan lebih gol, terutama sekali melalui Claudio Marchisio dan Antionio Di Natale. Jaringan Federico Balzaretti juga tidak dibenarkan akibat ofsaid.

Penjaga gawang dan ketua pasukan mereka Gianluigi Buffon juga memberikan persembahan yang hebat untuk menyelamatkan pasukannya beberapa kali, terutama sekali di saat-saat akhir perlawanan apabila beliau menepis sepakan percuma pemain gantian Jerman Marco Reus.

Tetapi beliau tidak dapat membuat apa-apa untuk menyelamatkan sepakan penalti Mesut Ozil di masa tambahan, yang diberikan selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Lenoardo Bonucci di dalam kotak penalti.

Jurulatih Jerman Joachim Low tentu akan kecewa dengan persembahan pasukannya, yang tidak menujukkan prestasi biasa mereka dan kini harus tunggu lagi empat tahun untuk memenangi kejohanan yang mereka belum memenangi sejak tahun 1996.

Kesebelasan utama:

Jerman: Manuel Neuer, Holger Badstuber, Jerome Boateng (Thomas Mueller, 71), Mats Hummels, Philipp Lahm, Sami Khedira, Toni Kroos, Mesut Oezil, Bastian Schweinsteiger, Mario Gomez (Miroslav Klose, 46), Lukas Podolski (Marco Reus, 46).

Itali: Gianluigi Buffon, Federico Balzaretti, Andrea Barzagli, Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini, Daniele De Rossi, Claudio Marchisio, Riccardo Montolivo (Thiago Motta, 63), Andrea Pirlo, Mario Balotelli, Antonio Cassano (Alessandro Diamanti, 57).