Nasib Singa lebih Malang Dari Harimau Malaya

Perlawanan sebelum ‘cabaran causeway’ tidak memberangsangkan dengan keputusan seri 0-0 untuk Malaysia dan kekalahan untuk pasukan Singapura.

Sebelum menentang Singapura dalam saingan perlawanan persahabatan yang digelar ‘cabaran causeway’, Malaysia telah muncul dengan keputusan seri 0-0 dengan pasukan Philippines.

Perlawanan telah bermula dengan kesilapan hantaran Azmi Muslim kepada penjaga gol Farizal Marlias yang hampir-hampir dirampas oleh pemain Hoffenhein Stephen Schrock pada minit pertama.

Philippines terus menguasai perlawanan dengan gandingan usaha Angel Guirado dan Juan Luis Guirado yang tidak henti berlari.

Tandukan penyerang Dennis Wolf hampir-hampir membolos gawang Malaysia dan seminit kemudian pemain yang berusia 29 tahun itu mendapat peluang keemasan apabila memecut lepas barisan pertahanan Malaysia tetapi rembatannya terkena tiang.

Pasukan Dato K Rajagopal ini hanya mampu menindak dengan serangan balas pada separuh masa pertama dengan kombinasi penyerang utama Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha kelihatan kurang cergas dan tidak efektif dalam usaha mereka walaupun telah mencuba sedaya upaya.

Apa yang boleh dibanggakan oleh 15, 212 para penyokong yang telah hadir adalah prestasi S. Chanturu yang telah mencetuskan gerakan serangan Harimau Malaya.

Shahruain Abu Samah pula telah memberi persembahan yang baik terutama apabila merampas bola dari pemain terbaik perlawanan itu, Schrock di tengah padang sebelum menggelecek ke dalam kotak dan melepaskan rembatan yang terkena tiang.

Walaubagaimanapun dengan lebih kurang 15 minit tinggal dalam perlawanan kedua-dua jurulatih memberi peluang kepada pemain gantian mereka untuk membuktikan diri dan perlawanan kekal dengan keputusan seri.

Dalam perlawanan antara Singapura dan Hong Kong pula, pasukan tuan rumah Hong Kong telah mencatatkan kemenangan 1-0 dengan jaringan gol oleh Lam Ka Wai pada minit ke 35 lepas penjaga gol utama Hyrulnizam Juma’at dari hantaran Au Yeung Yiu Chung.

Pasukan pelawat gagal menjaringkan gol walaupun telah memulakan separuh masa kedua dengan baik dan ketiadaan jeneral di tengah padang yang mengarah gerak serangan telah menjejas prestasi mereka.

Ia dijangkakan yang walaupun keputusan kini tidak memberangsangkan, saingan antara Malaysia dan Singapura pada 8 dan 12 Jun tetap akan menyaksikan aksi yang lebih padat dengan kedua-dua pasukan sedia mengorbankan apa sahaja demi kemenangan.