Motosikal dibakar ketika tidur

KUALA LUMPUR – Perbuatan khianat pihak tertentu yang membakar lebih 10 kenderaan semalam telah menyebabkan beberapa penduduk di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak di sini bukan sahaja ‘patah kaki’ malah, naik angin dengan tindakan tidak berakal tersebut.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu menyebabkan 13 buah motosikal yang berada di tempat letak kenderaan hangus. Turut terkena tempias api itu ialah dua buah motosikal lain, sebuah kereta jenis Toyota Grand Livina dan Proton Saga.

Lebih malang apabila seorang pengawal keselamatan bagaikan hilang punca apabila satu-satunya motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dimiliki hangus.

Nawer Abdul Razak, 56, mendakwa, ketika kejadian kesemua pemilik kenderaan berada di rumah masing-masing.

“Isteri mengejutkan saya dari tidur selepas terdengar jeritan penghuni flat. Saya tinjau dari tingkap dan mendapati motosikal sedang terbakar dan terus turun tetapi gagal menyelamatkannya.

“Saya sedih kerana ia satu-satunya kenderaan yang saya ada untuk ke tempat kerja, tetapi sekarang sudah terbakar angkara perbuatan khianat,” dakwanya.