Malam malang abang pengantin

RANAU: Hanya kerana terlanggar bahu ketika asyik menari di majlis perkahwinan adiknya, seorang lelaki yang juga abang pengantin perempuan maut apabila lehernya ditumbuk menggunakan buku lima oleh seorang tetamu dalam kejadian di Balai Raya Kampung Giring-Giring, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa, Rudy Saidi, 35, dan tetamu terbabit yang berusia 16 tahun, menyertai majlis menari itu sebelum mangsa terlanggar bahu dengan remaja terbabit.

Insiden jam 8.30 malam itu menyebabkan pertengkaran antara kedua-duanya sebelum remaja terbabit mengeluarkan buku lima lalu menumbuk leher mangsa sebelum dia rebah.

Mangsa yang dibantu tetamu lain meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Ranau manakala suspek melarikan diri apabila melihat mangsa tidak sedarkan diri.