Maher Zain Menghiburkan Walau Ada Kekurangan!

Malam minggu lalu ada dua konsert artis antarabangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur. Pertama, Maher Zain Forgive Me Live in Malaysia 2012 dan yang satu lagi konsert daripada kumpulan muzik dari San Francisco, Amerika Syarikat, Train. Di antara kedua-kedua konsert ini, GUA memilih untuk menyaksikan Maher Zain kerana pengalaman menyaksikan showcase Maher Zain di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 2010 lalu sukar dilupakan.

Namun, pengalaman menyaksikan persembahan Maher Zain kali ini tidak sehebat dahulu. Bagi GUA, konsert yang berlangsung lebih dua jam ini terlalu sarat kerana terlalu banyak lagu yang disampaikan oleh Maher iaitu sebanyak 23 buah lagu. Kesemua lagu-lagu ini dipetik daripada album pertamanya Thank You Allah dan album terbaru, Forgive Me.

Selepas dicampur dengan persembahan pembukaan daripada Irfan Makki dan Raef, ia menjadi 35 buah lagu. Mungkin Maher mahu memberi kepuasan kepada peminatnya, namun pertaruhannya dilihat kurang berjaya. Buktinya pada jam 10.30 malam, sudah ramai yang meninggalkan tempat duduk, sedangkan Maher mempunyai lapan buah lagu lagi yang belum dinyanyikan!

Memulakan persembahan kira-kira jam 9.15 malam, Maher muncul di pentas dengan menyampaikan lagu berbahasa Melayu, Sepanjang Hidup. Kemunculan Maher melegakan keresahan peminat yang sudah lama menunggu kelibatnya.  Mengenakan kot putih, penyanyi yang mempunyai jutaan peminat di internet ini tampil segak dan bersahaja. Selesai menyampaikan lagu ini, Maher terus menyapa peminat dengan mengucapkan salam sebelum mengajak peminat untuk terus menyanyi bersamanya.

Persembahan Maher kali ini diiringi dengan gabungan pemuzik hebat daripada beberapa buah negara seperti Mesir, Iraq, Sepanyol, Belanda dan tidak ketinggalan Malaysia. Seperti yang telah dijanjikan dalam sidang media baru-baru ini, Maher mencipta kejutan apabila dia menjemput pemuzik terkenal, Jari, untuk bermain saksofon ketika dia bermain piano dan menyampaikan lagu Thank You Allah.

Selain itu, Maher turut menyampaikan lagu Ku Milikmu yang pada mulanya tidak tersenarai. GUA kagum dengan kefasihan Maher menyanyi dalam bahasa Melayu. Walaupun sebelum ini Maher pernah berkata dia tidak yakin dengan sebutan bahasa Melayunya, tetapi persembahan Maher membuktikan sebaliknya.

Lain-lain lagu yang turut disampaikan ialah One Big Family, Ya Nabi Salam Alayka, Freedom, Forgive Me, Thank You Allah, For The Rest Of My Life, Mawlaya, Number One For Me, Insha Allah, Masha Allah, Man In The Mirror (Micheal Jackson), Paradise, So Soon, Kiya Karo dan Baraka Allah Lakuma.

Secara keseluruhan, Maher Zain berjaya mempersembahkan sebuah konsert yang menghiburkan. Cuma terlalu banyak lagu yang disampaikan. Pada pendapat GUA, lebih baik Maher memilih lagu-lagu yang dekat di hati peminat supaya peminat yang bukan fanatik tidak mudah berasa bosan. Lagipun, lebih baik penonton berasa tidak puas daripada berasa jemu. Perasaan tidak puas boleh membuatkan penonton tidak sabar-sabar menanti kunjungan Maher yang akan datang.

Satu perkara lagi yang GUA ingin luahkan di sini ialah persembahan pembukaan daripada Irfan Makki yang cukup mengecewakan.  Dengan vokal yang lemah, Irfan merentap mood GUA untuk menyaksikan konsert ini dengan bangga. Bagaikan satu penyiksaan menunggu Irfan selesai menyanyikan enam buah lagu kesemua. Mujurkan kehadiran Raef menaikkan semangat GUA semula. Mungkin pada masa akan datang, Maher tidak perlu membawa Irfan Makki bersama-sama dalam konsertnya!

Maher Zain Forgive Me Live in Malaysia 2012 dianjurkan oleh Marctensia Concerts dan Awakening Records dan disokong oleh Tourism Malaysia. – gua.com.my