Maher Zain Dibayar RM1 Juta?

Penyanyi kelahiran Sweden, Maher Zain sekali lagi kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert pada malam esok (Sabtu, 16 Jun), jam 8.00 malam. Konsert yang dinamakan Maher Zain ‘Forgive Me’ Live In Malaysia  ini menjadikan Stadium Merdeka sebagai medan dakwahnya untuk kali ini.

Jika dihitung, ini kali empat penyanyi ini menemui peminat Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun. Pertama kali dia menjejakkan kaki ke sini ialah pada Oktober 2010. Tidak sampai beberapa bulan selepas itu, Maher Zain kembali semula pada Februari 2011 dan yang terakhir adalah di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak pada 19 November lalu.

Persoalannya, apakah yang membuatkan Maher Zain sering berulang-alik ke sini? Adakah kerana dia sudah jatuh cinta dengan peminat di sini, atau kerana dia mendapat bayaran lumayan? Ini kerana timbul desas-desus mengatakan setiap kali Maher mengadakan konsert di sini, dia mendapat bayaran mencecah RM1 juta. Jika benar dakwaan itu, tidak hairanlah Maher suka bertandang ke sini.

Untuk mendapatkan kepastian, GUA  telah mendapatkan penjelasan lanjut daripada Maher sendiri. Jelas penyanyi ini, dakwaan itu tidak benar sama sekali.  Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan jumlah bayaran sebenar yang diterimanya.

“ RM1 juta?. Tidak benar dakwaan itu. Tetapi saya juga tidak boleh dedahkan jumlah bayaran sebenar yang saya terima.  Bayaran saya bergantung kepada bagaimana konsert atau persembahan yang saya tampilkan. Jadi, jumlah bayaran yang diterima tidak sama untuk sesebuah negara yang saya lawati,” ujar Maher yang ditemui di Restoran Hadramawt, Jalan Ampang, pada Khamis.

Mengulas tentang kekerapan kunjungannya ke Malaysia, Maher memberitahu dia memang suka dengan Malaysia, namun tidak dapat memberikan alasan sebenar. Jelasnya, bukan dia sahaja yang suka, tetapi isterinya juga suka dengan persekitaran Malaysia.

Bercerita tentang konsert pada malam esok, Maher memberitahu konsertnya kali ini cukup berbeza dengan persembahan-persembahannya sebelum ini. Malah, mengakui dia ingin menebus kekecewaan terhadap konsertnya di Stadium Malawati, Shah Alam lalu.

“Sebenarnya saya tidak gembira dengan konsert saya pada tahun lepas. Jadi kali ini saya janjikan sebuah konsert yang jauh berbeza, cukup istimewa dan penuh kejutan. Bolehlah dikatakan perbezaannya bagai siang dan malam. InsyaAllah. Saya tidak mahu ulas lebih lanjut sebab hendak buat kejutan!” ulas Maher lagi.

Pada konsert yang dijadualkan berlangsung selama tiga jam itu, Maher akan menyampailkan lagu-lagu hits daripada album terbaru Forgive Me dan album terdahulu Thank You Allah.  Bagi tidak mengecewakan peminat Malaysia, Maher juga akan menyampaikan dua buah lagu berbahasa Melayu yang dimuatkan dalam album terbarunya iaitu ‘Ku Milik Mu’ dan ‘Tuntutanku KepadaMu’.

Berkongsi  sedikit tentang  projek akan datang, Maher  Zain memberitahu selesai konsert di sini dia akan terus berangkat ke Indonesia untuk menjalani penggambaran drama di sana. Kemudian , dia akan ke Mesir dan menantikan ketibaan bulan Ramadhan. Di samping itu, beliau juga  sedang mengumpul material untuk album ketiganya. – gua.com