KRU Berdiri Gah Membina Empayar

SIAPA sangka dengan hanya modal permulaan sebanyak RM2,000, KRU kini berjaya menubuhkan syarikat gergasi KRU Berhad yang menghasilkan produk muzik, filem, program televisyen dan lebih hebat sebuah pusat pengajian yang dikenali sebagai Akademi KRU. Malah, jenama KRU juga sudah berada di pasaran antarabangsa.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah melahirkan rasa kagum dengan potensi dan semangat yang dimiliki tiga adik-beradik KRU iaitu Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu dalam membina empayar dengan hanya bermodalkan RM2,000.

Namun, apabila rasa kagum itu diucapkan kepada Norman, dia sekadar tersenyum malah berkongsi cerita bahawa segala kejayaan yang dikecapi mereka kini adalah berkat sokongan kedua ibu bapa dan peminat selain pernah melalui jerih perih kehidupan sebagai insan seni bermula tahun 1992.

PEMINAT ternyata masih teruja persembahan KRU selepas sekian lama tidak muncul di pentas konsert.

“Bukan mudah. Kami (KRU) terpaksa meminjam wang sebanyak RM2,000 daripada syarikat rakaman Fantasia Music City atau FMC semata-mata untuk membeli alat muzik keyboard. Melalui alat muzik tersebut kami menghasilkan lagu dan seterusnya album pertama KRU yang berjudul Canggih,” ujarnya.

Mereka pantas meraih populariti menerusi lagu Hanya Kau. Album Canggih berjaya dijual sebanyak 65,000 unit dan melayakkan mereka untuk memenangi anugerah platinum.

Apabila muzik KRU mula mendapat tempat di hati peminat, ada pula pihak yang kurang berpuas hati dengan muzik yang dibawa tiga beradik itu. Mereka dituduh cuba merosakkan minda anak muda dengan aliran muzik hip hop kebaratan yang dikatakan menjurus kepada muzik bertemakan seks, pembunuhan dan pemberontakan.

“KRU pernah melalui detik paling hitam apabila konsert pertama kami iaitu Krumania diharamkan pada tahun 1997. Bayangkan ketika itu kami sudah ikat kontrak dengan penaja untuk buat konsert jelajah ini ke 20 buah negeri.

KUMPULAN Elite berjaya mengembalikan nostalgia.

“Malah, kami juga ada membuat pinjaman bank semata-mata untuk menjayakan konsert ini. Malangnya, ia diharamkan dan kami terpaksa membayar pinjaman bank,” jelasnya.

Protes

Tidak cukup dengan itu, ujar Norman, setiap kali KRU mengadakan persembahan, pasti akan ada protes daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan mereka. Namun, semuanya dapat diatasi berkat kesabaran dan juga semangat KRU memperjuangkan muzik mereka.

“Daripada cabaran seperti itu, KRU mula bina kekuatan. Masa itu kami tidak prihatin untuk dekatkan diri pada politik dan menerangkan lebih lanjut muzik yang dibawa. Alhamdulillah, selepas memperkenalkan KRU dan mendekatkan diri dengan mereka, muzik kami mula diterima umum,” bicara Norman penuh kelegaan.

Berkongsi saat manis perjuangan KRU pula, ungkap Norman, terlalu banyak kenangan manis yang mereka peroleh. Paling tidak dilupakan ketika KRU mengadakan konsert jelajah album Inggeris mereka iaitu The Way We Jam.

“Kami bukan sahaja mengadakan konsert jelajah untuk album itu di Malaysia malah di luar negara seperti Filipina, Singapura dan Brunei.

“KRU juga mengecapi kenangan manis tatkala mengadakan konsert ulang tahun yang ke-10 di Dataran Merdeka. Bayangkan ketika itu peminat yang datang lebih 50,000 orang,” ceritanya.

Formula kejayaan

BANGGA. Yusry, Edry dan Norman di samping ibu dan bapa mereka.

Ditanya mengenai kepuasan yang dimiliki KRU, tutur Norman, dia bersyukur kerana daripada kumpulan muzik KRU, kini sudah kepada jenama yang boleh dilihat dan dirasai.

Walau bagaimanapun, katanya, banyak lagi yang ingin dicapai KRU contohnya di peringkat antarabangsa.

“Sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif operasi) syarikat, saya ingin lihat jenama KRU terukir gah di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat.

Berkongsi formula kejayaan, ujar Norman, sumber kejayaan KRU adalah kedua ibu bapa mereka dan juga peminat.

Ujarnya, tanpa dua formula tersebut mereka tidak akan sampai ke tahap ini.

“Biasalah walaupun kami adikberadik tetap bergaduh. Ibu bapa kami adalah pendamai untuk terus bersama membina empayar sehingga kini,” jelasnya.