Jimmy dan isteri buntu selesai kes anak

SHAH ALAM – Perbincangan hak penjagaan anak kepada pengacara, Jimmy Shanley dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan syarat dan tawaran yang diberikan antara satu sama lain.

Perkembangan terbaharu itu akhirnya membuatkan Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 28 Ogos depan bagi perbicaraan tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap anak tunggal pasangan suami isteri itu, Zahrah Shanley, 11 bulan yang dituntut oleh Nursuhaila.

Pada prosiding semalam, peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus yang mewakili Jimmy berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tawaran plaintif (Nursuhaila) pada Jumaat lepas apabila mencadangkan Jimmy hanya boleh melawat anak perempuan mereka tetapi tidak boleh bermalam.

Malah, Jimmy katanya tidak bersetuju dengan cadangan agar lawatan itu pula hanya boleh dilakukan di rumah Nursuhaila dan anak mereka tidak boleh dibawa keluar dari kawasan rumah tersebut.

“Pada prosiding yang lepas bersetuju untuk menjaga anak secara bersama bergilir setiap minggu tetapi apabila kami tunggu surat, dia kata mahu bincang dengan ahli keluarga lain.

“Namun selepas puas menunggu, 22 Mei lalu kita hantar surat memberi cadangan supaya seminggu itu pecah kepada dua iaitu Isnin Selasa, Rabu atau Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad tetapi baru menerima cadangan baharu tadi pada Jumaat lepas,” katanya di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man di sini semalam.