Jerman tunjukkan kekuatan mereka

Jerman belasah Greece 4-2 pada hari Jumaat untuk mara ke separuh akhir Euro 2012.

Jerman, yang menjadi pasukan pilihan ramai untuk memenangi perlawanan ini, menguasai separuh masa pertama menentang sebuah pasukan Greece yang bermain dengan defensif dari mula perlawanan.

Jerman mendahului perlawanan apabila ketua pasukan Phillip Lahm merembat bola masuk dari luar kotak penalti enam minit sebelum masa rehat.

Greece, juara Euro 2004, mengejutkan Jerman sepuluh minit selepas masa rehat apabila hantaran Dimitris Salpingidis dari sayap kanan dijaringkan oleh Giorgos Samaras, yang telah berjaya melepasi Jerome Boateng.

Jerman menjaringkan gol kedua mereka enam minit kemudian apabila rembatan voli Sami Khedira daripada hantaran Boateng melepasi penjaga gawang Greece Sifakis. Miroslov Klose menanduk masuk gol ketiga Jerman pada minit ke-68 sebelum pemain muda Marco Reus menjaringkan gol keempat untuk pasukan Joachim Low.

Salpingidis berjaya menjaringkan gol kedua Greece melalui sepakan penalti apabila bola terkena tangan Boateng di dalam kotak penalti.

Jerman akan bertemu pemenang perlawanan antara England dan Itali di separuh akhir Euro 2012.