Jangan pandang rendah Taiwan

KUALA LUMPUR – Jangan pandang rendah Taiwan! Itu ingatan jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Ong Kim Swee apabila menentang Taiwan pada Kelayakan Piala AFC di Myanmar, hari ini.

Katanya, pemain tidak seharusnya terlalu yakin selepas meraih kemenangan besar 7-0 ke atas Filipina, baru-baru ini.

Setelah Taiwan dibelasah 1-8 oleh Korea Selatan, Kim Swee tidak melihat ia sebagai satu perbandingan bahawa skuad negara boleh berpesta gol buat kali kedua pada perlawanan hari ini.

“Korea memang berada dalam kelas tersendiri, sebab itu mereka mampu meraih kemenangan besar ke atas Taiwan.

“Oleh itu jangan fikir kita boleh berkenduri gol sekali lagi seperti mana yang dilakukan bertemu Filipina tempoh hari kerana Taiwan adalah lawan yang lebih berkualiti, jika tidak bagaimana mereka mampu kalahkan Vietnam 2-1.

“Apa yang saya perhatikan mengenai Taiwan, mereka adalah sebuah pasukan yang cukup berdisiplin ketika bertahan dan bermain sebagai satu unit. Mereka bukan sebuah pasukan yang mudah untuk ditentang, buktinya mereka menang 2-1 ke atas Vietnam.

“Jadi keadaan ini sudah tentu menyukarkan barisan serangan negara menembusi pintu gol Taiwan dan semua pemain perlu bekerja keras dalam usaha mendapatkan gol, ” katanya ketika dihubungi.

Satu lagi kemenangan akan membawa skuad negara terus menghimpit kedudukan Myanmar dan Korea Selatan, yang akan berdepan sesama sendiri hari ini.

Kim Swee terpaksa berdepan Taiwan tanpa khidmat A. Thamil Arasu yang mengalami kecederaan hamstring dan akan meletakkan Ahmad Hazwan Bakri bergandingan bersama Rozaimi Abdul Rahman.

“Thamil sudah pasti tidak akan bermain menentang Taiwan, kecederaan yang dialaminya agak serius.

“Selain itu saya akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama memandangkan dua hari selepas menentang Taiwan, kita akan berjumpa Vietnam, ” katanya.