Jamin mantap: Hodgson

DONETSK (Ukraine): Pengurus England Roy Hodgson yakin pasukannya akan muncul sebagai pasukan yang kuat selepas menempuh aksi memenatkan pada perlawanan pembukaan menentang Perancis yang berkesudahan 1-1.

Pasukan bimbingan Hodgson meraih satu mata berharga pada perlawanan yang dianggap memeritkan dalam kumpulan D di Arena Donbass, selepas jaringan Samir Nasri memadam gol pembukaan Joleon Lescott.

England dilihat lebih tertekan berbanding Perancis dalam perlawanan tumpuan itu yang menyaksikan Les Bleus menguasai permainan cuma gagal mencari kemenangan.

Hodgson yakin keputusan itu akan memberi perangsang buat pasukannya meraih kejayaan selepas ini, berdepan cabaran menentang Sweden di Kiev pada Sabtu ini sebelum berdepan Ukraine pada perlawanan terakhir kumpulan D.

“Saya harap perlawanan ini menjadi landasan yang baik untuk bangkit. Pemain kami akan lebih cergas pada perlawanan seterusnya,” kata Hodgson.

Hanya beberapa pemain saja yang tidak beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir penghujung musim lalu dan beraksi pada kejohanan ini di bawah tahap kecergasan sebenar.

“Lebih kerap berlatih dan diturunkan, mereka akan lebih cergas. 15 atau 20 minit terakhir memang sukar ketika menentang Perancis.

“Mujur saya ada beberapa pemain gantian untuk memberikan pemain utama berehat. Namun Laurent Blanc juga akan mengatakan perkara yang sama kerana kedua-dua pasukan kepenatan. Perlawanan itu seimbang kerana Perancis juga merasakan tekanan dalam perlawanan itu.” Dalam pada itu, Hodgson menegaskan pasukannya akan terus mempamerkan aksi meyakinkan dan mengakui banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki. -AFP