Jalani dan Raja Azmi Fail Cerai

KUALA LUMPUR: “Selepas difikirkan masak-masak, hanya perceraian jalan terakhir untuk membersihkan nama suami saya daripada terus dicemuh,” kata produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, mengenai perceraiannya dengan suami, Jalani Sidek, 48, yang akan difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, hari ini.

Raja Azmi berkata, perceraiannya dengan bekas pakar beregu badminton negara itu dilakukan secara baik atas persetujuan bersama, malah mereka akan diwakili peguam sama, Roslizam Rahim.

“Saya tak sanggup lagi mendengar tohmahan masyarakat yang menuduh dan menghina suami sebagai dayus. Fitnah juga tidak putus-putus melanda rumah tangga kami hingga hubungan kami suami isteri tidak lagi seperti dulu.

“Jadi, pada masa ini perceraian adalah penyelesaian terbaik untuk kami,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Raja Azmi berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia dan Jalani kerap menjadi mangsa fitnah pihak tertentu dan kesannya benar-benar menjejaskan reputasi bukan saja mereka berdua, malah keluarga.

Adakah ini juga disebabkan oleh skandal yang disiarkan menerusi Berita Minggu November 2011 yang lalu dimana seorang wanita bernama Zaleha Mohd Khalid tampil membuat pengakuan yang beliau ada hubungan istimewa dengan Jalani Sidek, suami Raja Azmi.

Kisah pendedahan dua muka surat ini agak mengejutkan selepas pasangan ini menafikan gossip bahawa mereka bakal bercerai ketika itu.


Menurut Zaleha Mohd Khalid yang juga merupakan rakan perniagaan Jalani Sidek, Raja Azmi tahu akan hubungan istimewa mereka dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut ibu tunggal kepada empat orang anak ini juga, hubungan mereka sudah berlangsung lebih setahun dan mengaku pernah terbang ke Medan, Indonesia bersama Jalani Sidek atas urusan perniagaan.

Wanita ini juga mendakwa beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menjamin Raja Azmi keluar lokap berikutan kes polis baru baru ini & hubungan mereka sekarang sudah seperti kakak dan adik.