Harimau mesti garang!

TAMPIL lebih agresif! Itu yang diarahkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal kepada anak buahnya apabila turun melayan Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Shah Alam malam ini.

Selepas kempunan menumpaskan musuh tradisi itu pada pertembungan pertama di Stadium Jalan Besar yang menyaksikan Singapura bangkit mengikat Harimau Malaya 2-2 biarpun ketinggalan 0-2, Rajagobal yakin barisan pemainnya mampu melakar keputusan lebih baik.

“Kita akan bermain di Shah Alam dan saya mahu pemain bermain lebih agresif. Kalau kita lihat permainan sebelum ini, Singapura lebih banyak menggunakan hantaran bola tinggi dan menggunakan kelebihan fizikal,” katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

“Kalau kita lihat prestasi mana-mana pasukan, tak semestinya bermain di tempat sendiri akan beri kelebihan. Bayern Munich juga kalah pada final Liga Juara-Juara kepada Chelsea meskipun bermain dan berlatih di situ hari-hari.

Yang penting pemain yakin dan bermain mengikut arahan.” Persoalan yang bermain ketika ini adakah Rajagobal masih lagi akan menggunakan barisan pemain sama selepas seri dalam dua perlawanan sebelum ini termasuk Filipina 0-0, di Stadium Shah Alam, 8 Jun lalu.

Selepas seri dengan Filipina, tiada perubahan dalam kesebelasan utama negara ketika menentang Singapura melainkan Rajagobal menggantikan Mohd Farizal Marlias dengan Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol.

“Saha (Mohamad Ashaari Samsudin) masih cedera tapi sudah mula menjalani latihan ringan semalam (kelmarin). Kalau saya buat pertukaran, mungkin minimum dua pemain tapi keputusan itu bergantung kepada latihan petang ini (semalam),” katnaya.

Sambil mengulangi anak didiknya berhak menang perlawanan Jumaat lalu, Rajagobal berharap pengadil yang ditugaskan mengadili perlawanan timbal balik malam ini dapat membuat keputusan lebih baik.

“Memang tugas sebagai pengadil bukan senang tapi saya hairan dengan keputusan pengadil tempoh hari. Bagaimanapun saya lebih memberi tumpuan kepada pasukan saya berbanding isu ini. Bagi saya kami berhak memenangi perlawanan itu,” katanya.

Pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam menjadi perhatian selepas memberikan sepakan percuma dalam kotak penalti Malaysia yang menjadi punca gol pertama dan kebangkitan Singapura atas dakwaan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak melakukan provakasi ke atasnya.

Anda boleh saksikan perlawanan ini menerusi live streaming di sini