Harimau Malaya tekad pulih reputasi

KEKECEWAAN jelas tergambar pada riak wajah penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Sali sejurus tamat aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Apa tidaknya, Safee terus gagal menamatkan kemarau jaringan bersama skuad kebangsaan sejak November tahun lalu.

Biarpun memiliki sekurang-kurangnya empat peluang terbaik, Safee masih gagal merobek gawang Filipina sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

“Ia satu perlawanan yang cukup sengit. Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi masih gagal menyudahkannya dengan baik.

“Memang keputusan itu sukar saya terima. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki,” kata Safee kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Bagaimanapun, Safee mahu menebus kekecewaannya itu apabila Harimau Malaya berdepan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, 8 Jun ini.

“Kami akan mempertingkatkan usaha kami dan berharap kesilapan serta kelemahan yang sama tidak akan berulang ketika menentang Singapura nanti.

“Lebih mustahak, kami perlu memanfaatkan peluang jaringan yang terhidang,” jelasnya.

Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim turut menganggap keputusan seri tanpa jaringan dengan Filipina itu dapat dijadikan sebagai pengajaran.

Selain tekad untuk memperbaiki kesilapan, perancang Selangor itu bersedia untuk meningkatkan lagi tahap persembahan ketika menentang Singapura nanti.

“Satu pengajaran buat saya dan rakan-rakan sepasukan. Kami sebenarnya mampu memenangi perlawanan tersebut tetapi gagal untuk memanfaatkan peluang yang ada.

“Ia merupakan satu keputusan yang tidak positif. Kami tidak harus mempersia-siakan lagi peluang yang ada dan kami akan memperbaiki kelemahan ketika menentang Singapura,” ujarnya.

Selepas bertandang ke Stadium Jalan Besar, Harimau Malaya akan menanti kunjungan Singapura pada aksi persahabatan kedua di Stadium Shah Alam empat hari kemudian.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kini dalam persiapan menjelang misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 yang akan berlangsung November depan.