Fowler sedia beraksi di Malaysia

BEKAS bintang Liverpool, Robbie Fowler mengakui belum memikirkan untuk menggantung but dan bersedia ke mana saja khidmatnya diperlukan termasuk di Malaysia.

Tugas saya di Thailand sudah selesai dan selepas ini, saya akan kembali ke England untuk menguruskan beberapa perkara selain berbincang mengenai beberapa tawaran di sana.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan masa yang saya habiskan ketika di Thailand. Jika ada tawaran di negara ini, dan jika tawaran yang diberikan sangat menarik, sudah tentu saya akan memikirkannya.

Saya masih mahu bermain,” katanya ketika majlis bertemu peminat bersama Courts yang melantiknya sebagai duta sempena kempen Hari Raya di ibu kota, semalam.

Fowler, 36, mengejutkan dunia bola sepak apabila menyertai kelab Liga Perdana Thailand, Muangthong United tahun lalu sebagai pemain sebelum dilantik menjadi pengurus sehingga pertengahan musim 2012.

“Ketika ini, saya sedang meneliti beberapa tawaran dari beberapa kelab di Liga Kejuaraan Inggeris, tetapi semuanya masih dalam proses perbincangan.

“Saya juga mendapat beberapa peluang untuk bermain, antaranya bersama Blackpool dan beberapa lagi kelab di sana sebelum ini tetapi tawaran yang diberikan tidak begitu menarik, jadi saya akan menunggu sehingga permulaan musim depan.”

Selain pernah beraksi bersama Liverpool sehingga bergelar legenda bersama di Anfield, Fowler turut menyertai beberapa kelab seperti Leeds United, selain beraksi bersama skuad kebangsaan England dengan mengumpul tujuh gol.

Selain bergelar pemain, Fowler juga sedang membuat persiapan untuk bergelar pengendali sepenuh masa dan pernah menyuarakan hasrat untuk kembali ke Anfield sebagai jurulatih.