FC Ryukyu Sedia Mencuba 2 Pemain Harimau Muda

Ong Kim Swee mengesahkan dua pemainnya Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam akan menjalani ujian di Jepun pada bulan hadapan.

Selepas Nazmi Faiz yang menerima tawaran ujian dan seterusnya ditawarkan kontrak ke Berita-Mar, Portugal kini dua lagi pemain Harimau Muda telah mendapat perhatian kelab luar negara.

Berita ini telah pun dikhabarkan beberapa bulan yang lepas namun belum mencapai kepastian dari pihak Harimau Muda mahupun pihak dari Jepun.

Namun, Ong Kim Swee hari ini telah mengesahkan bahawa dua anak buahnya Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal akan menjalani ujian di Jepun pada 12 hingga 28 Julai ini.

Sebelum ini, wakil ejen pencari bakat Japan Dream FA, Masao Kiba sudah mengadakan pertemuan dengan Kim Swee selepas perlawanan kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu kerana berminat menawarkan tempat kepada Wan Zaharulnizam bagi menghadiri ujian percubaan dengan kelab Divisyen Tiga iaitu FC Ryukyu yang berpengkalan di Okinawa.

Bakat pemain sayap Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai ‘Kecik’ dikesan Masao Kiba, bekas kapten Gomba Osaka ketika beraksi bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun pada aksi kelayakan di Tosu, Jepun September lalu.

Selepas mengadakan perbincangan awal, Kim Swee mencadangkan kepada kelab itu supaya membawa bersama Wan Zack Haikal mengikuti ujian percubaan itu.

One Reply to “FC Ryukyu Sedia Mencuba 2 Pemain Harimau Muda”

Comments are closed.