FAM, Azzuddin diarah fail pembelaan

Mahkamah Tinggi telah memerintahkan FAM dan Datuk Azzuddin untuk memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Tan Sri Annuar Musa.

Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Ain Hamzah turut menetapkan 19 Julai ini untuk pengurusan kes semasa kes saman itu disebut di hadapan beliau hari ini.

Pada prosiding semalam, Annuar diwakili peguam Kamaruddin Abdullah dan Jasswant Singh, manakala tiada wakil daripada pihak defendan hadir.

Annuar memfailkan saman pemula tersebut di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Jun lalu bagi menuntut 10 perisytiharan berhubung pengantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM termasuk pertuduhan persatuan itu terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac lalu adalah cacat, tidak sah dan terbatal.

Begitu juga perbicaraan tatatertib pada 4 April lalu dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya yang didakwa tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.

Mengikut pernyataan tuntutan, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM telah bertindak secara mala fide (berniat jahat).

Katanya, Azzuddin yang dinamakan sebagai defendan kedua, dalam surat bertarikh 2 April lalu juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Ia dilakukan dengan alasan defendan itu sendiri yang akan mewakili plaintif, sedangkan defendan kedua tidak sepatutnya menjadi wakil plaintif kerana Azzuddin adalah pihak yang membuat tuduhan.

Sehubungan itu, Annuar memohon mahkamah mengisytiharkan kesemua tindakan yang membawa kepada pengantungan beliau itu tidak mematuhi status dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.

Turut dimohon adalah perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan lain-lain jawatan serta melibatkan diri dalam sebarang acara bolasepak.

Annuar dalam kenyataan kepada media pada 7 Jun lalu memberitahu, tindakan saman itu dibuat bukan untuk mencabar hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya, tetapi ia berkaitan dengan perlanggaran undang-undang yang dibuat dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

Annuar digantung dua tahun setengah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM sejak 4 April lalu oleh Jawatankuasa Jatatertib persatuan itu setelah didapati bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

Bagi pertuduhan pertama, Annuar digantung selama dua tahun sementara enam bulan lagi untuk pertuduhan kedua selepas didapati melanggar Artikel 88 Status FAM edisi 2010-14 di bawah Perkara 4.5.8 (I) dan 4.5.8 (III).- Utusan