Era baharu sepak takraw negara

SUKAN sepak takraw negara akan kembali pada era kegemilangannya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, beliau yakin impian itu dapat dicapai, terutamanya hasil kerjasama dengan UFA Sports.

“Langkah pertama untuk mencapai sasaran itu adalah dengan menganjurkan Liga Sepak Takraw Kebangsaan buat pertama kalinya tahun depan.

“Sebanyak 40 pasukan masing-masing 20 dari Divisyen 1 dan 2 akan beraksi setiap minggu selama empat bulan bermula pada 31 Ogos tahun depan.

“Namun, apa yang lebih menarik pada kejohanan ini adalah penampilan pemain import,” kata Ahmad pada majlis menandatangani perjanjian sepak takraw global antara PSM dan UFA Sports di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahaya dan Pengarah Urusan UFA Sports Asia, Jeff Chue.

Ahmad berkata, penganjuran liga ini juga akan menjadikan sukan sepak takraw sebagai karier kerana semua pemain yang dipilih mewakili pasukan masing-masing akan dibayar gaji tetap.

Pada masa yang sama, situasi ini bakal menyaksikan ‘penjualan dan pembelian’ pemain kerana setiap pasukan mahu memantapkan skuad masing-masing.

“Ia akan menjadi satu fenomena baharu. Selain transformasi kemahiran antara pemain import dan tempatan, situasi itu juga dianggap sebagai satu kaedah untuk meningkatkan mental pemain,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, PSM dijangka tidak akan berdepan masalah kewangan untuk menganjurkan lebih banyak kejoha- nan pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, UFA Sports turut bertanggungjawab untuk mempromosikan sukan sepak takraw dan Malaysia pada peringkat global menerusi siaran media.

Sementara itu, Jeff Chue berkata, kerjasama dan pelaburan eksklusif selama 10 tahun bersama PSM ini akan memberi pulangan yang besar pada masa hadapan.

“Sasaran untuk tempoh dua tahun akan datang adalah membantu pembangunan sukan sepak takraw negara. Saya yakin, Liga Sepak Takraw Kebangsaan mampu merealisasikan impian itu.

“Buat masa ini, kami masih belum menentukan jumlah sebenar perjanjian ini. Kami akan meneliti aspek ini bersama PSM tetapi ia membabitkan pelaburan yang bernilai berjuta ringgit,” kata Jeff Chue.