Dakap ayah kali terakhir

KUANTAN: Seorang bapa tidak menyangka pelukan erat anak sulungnya sebelum mereka bersiar-siar di bandar ini menjadi dakapan terakhir apabila kanak-kanak itu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Teluk Sisek berdekatan Dewan Jubli Perak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Rizwan Idris, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Galing, di sini, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sejam selepas kemalangan akibat cedera parah di badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama bapanya, Idris Badar, 41, serta seorang adik lelakinya berusia dua tahun dalam perjalanan ke Teluk Chempedak untuk makan angin sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil dipandu Idris bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua pokok palma di kiri jalan.

Anak bongsu Idris kini dirawat di HTAA akibat cedera di kepala manakala Idris hanya cedera ringan.