‘Bukan omong kosong’

“INI bukan cakap kosong, saya dan rakan sepasukan berjanji akan mendapatkan keputusan positif menentang Singapura.”

Demikian kata-kata semangat yang diluahkan kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menjelang aksi persahabatan antarabangsa dengan Singapura di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini.

Selepas aksi kurang memberangsangkan ketika seri tanpa jaringan dengan Filipina di Stadium Shah Alam Jumaat lalu, pemain tengah itu yakin mereka akan mempamerkan kemampuan sebenar sebagai juara bertahan Piala Suzuki AFF biarpun sedar Singapura bukan pasukan yang boleh diperlekehkan.

“Setiap perlawanan adalah pengalaman baru buat kami. Memang ketika menentang Filipina kami banyak mensia-siakan peluang tapi perlawanan itu akan mematangkan permainan kami.

“Kami sudah membuat persediaan terbaik untuk menentang Singapura, jadi saya harap kami akan mendapat keputusan baik, tidak kira perlawanan di gelanggang lawan dan di tempat sendiri,” katanya yang ditemui selepas tamat sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Skuad kebangsaan yang akan berlepas ke Singapura esok sekali lagi bertandang ke Stadium Jalan Besar yang memberikan kenangan pahit apabila anak buah Datuk K Rajagobal tewas 3-5 pada perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.

Malah skuad Singa itu dianggap kebal di gelanggang sendiri apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Malaysia sejak 2006 dalam tiga pertemuan dengan mencatat dua kemenangan dan satu seri.

Daripada lapan pertembungan kedua-dua musuh tradisi itu sejak 2006, Malaysia hanya menang sekali pada separuh akhir Piala Merdeka 2007 (3-1) manakala selebihnya seri lima kali dan kalah dua kali.

Bagi Safiq, 24, yang beraksi dengan pasukan Liga Super Selangor, pertemuan dengan Singapura amat penting buatnya untuk menebus kehampaan apabila dilayangkan kad merah ketika skuad kebangsaan tumpas kepada musuh tradisi itu tahun lalu di padang rumput tiruan, Stadium Jalan Besar.

“Saya dibuang padang pada separuh masa kedua, memang kecewa dan berharap perkara itu yang terakhir terjadi buat saya. Bagi saya setiap pasukan ada kelemahan dan kelebihan, kalau kita pandai gunakan kelebihan, kita boleh meraih kemenangan,” katanya.

Selepas aksi di Singapura, skuad kebangsaan akan melayan kunjungan skuad kendalian Radojko Avramovic di Stadium Shah Alam pada 12 Jun ini.