BN ramal pembangkang demo jika tewas PRU

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menghadapi kemungkinan pembangkang akan mengecam keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jika kalah dan turun ke jalan-jalan untuk menggulingkan kerajaan dipilih secara demokratik.

“Mereka akan mendakwa keputusan pilihan raya sebagai tidak adil, tidak bersih untuk mewujudkan persepsi negatif,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat mengulangi pandangan diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan blognya bulan lalu.

Sehubungan itu katanya, senario sedemikian mungkin akan wujud dan sudah dijangkan ekoran sokongan yang semakin meningkat kepada BN sejak Mac 2008.

Dipetik The Star Online, Muhyiddin berkata, langkah sedemikian sebahagian daripada usaha mereka untuk menggerakkan ‘perang psikologi’, yang bertujuan membawa rakyat ke jalan menyertai demonstrasi mirip Kebangkitan Rakyat di beberapa negara sejak awal tahun lalu.

Muhyiddin menambah, perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan akhir April lalu adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mengecam keputusan PRU13 jika tidak memihak kepada mereka.

Muhyiddin mengadakan lawatan ke beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, dipetik Bernama, Muhyiddin berkata, pihak pembangkang sengaja melancarkan perang psikologi untuk memanipulasi pemikiran rakyat supaya menjatuhkan kerajaan BN cara ala “Arab Spring”, kerana mereka sedar sokongan rakyat terhadap mereka kini kian meleset.

Beliau berkata, ini kerana pembangkang juga sedar adalah sukar bagi mereka untuk memenangi PRU13 secara demografi.

Katanya, pada masa yang sama, jangkaan mereka bahawa BN akan terus lemah selepas PRU-12 ternyata merosot sama sekali, kerana BN kini sudah kembali kuat, kukuh dan bersatu.

“Ini mungkin merupakan satu perang psikologi besar yang dibuat untuk memanipulasi pemikiran rakyat bahawa apabila kerajaan BN menang (dalam PRU ke-13), kerana mereka tahu mereka susah mahu tumbangkan BN secara demografi, ia akan menimbulkan kemarahan rakyat dan isytihar kemenangan itu adalah tidak sah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan jentera pilihan raya BN Bahagian Wilayah Persekutuan. Perhimpunan seramai 5,000 anggota dan ketua-ketua komponen-komponen parti BN itu turut dihadiri oleh badan dan persatuan yang menyokong BN.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir

Mohamad dalam blognya baru-baru ini yang mengatakan bahawa pembangkang sengaja mahu menanam persepsi buruk terhadap kerajaan BN dan melaksanakan taktik untuk menunjukkan kerajaan BN zalim dan menindas rakyat seperti dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan mendakwa sistem pilihan raya negara adalah tidak adil.

Muhyiddin juga menyoal motif pembangkang yang terus menuntut dan mendakwa yang kononnya yang masih tidak berpuas hati dan mahu “membersihkan” sistem pilihan raya di negara ini, walaupun insiatif telah diambil oleh kerajaan untuk mengkaji semula dan menambahbaik sistem tersebut.

Katanya, ini semata-mata untuk meraih sokongan masyarakat antarabangsa untuk menidakkan kesahihan keputusan PRU13 nanti.

Katanya, beliau juga sedar taktik sedemikian yang diguna oleh pembangkang dan kerajaan akan berusaha untuk menangkisnya, termasuk membuat penjelasan dan penerangan kepada rakyat di semua peringkat.