Banduan baru bebas mati dibelasah

BUTTERWORTH – Seorang banduan yang baru dibebaskan Isnin lepas atas kesalahan berkaitan dadah meninggal dunia dalam pergaduhan dengan seorang suspek di Taman Tambun Indah di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, G. Shamugam, 28, yang masih menganggur dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut di hadapan sebuah restoran pada pukul 4.30 pagi.

“Kita mendapat maklumat daripada orang awam berlaku pergaduhan di kawasan berkenaan dan sepasukan anggota polis peronda bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila sampai, suspek dilihat sedang memukul mangsa dengan rotan,” katanya.

Difahamkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi meleraikan pergaduhan itu.

Shafien berkata, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona. Mangsa meninggal di tempat kejadian.

Beliau berkata punca sebenar kejadian belum diketahui tetapi dipercayai akibat dendam. – BERNAMA