Balasan serah geran rumah

SERIAN: Seorang nenek menerima penghinaan dan penganiayaan yang tidak pernah terfikirnya apabila disepak dan dipijak cucu sendiri hingga patah tangan kanan dalam kejadian di Balai Ringin, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi 1 Jun lalu, warga emas berusia 87 tahun itu diserang cucu lelakinya yang berusia awal 20-an ketika dia memberi makan ayam peliharaan di halaman rumahnya.

Cucu mangsa bagaikan dirasuk apabila menyepak neneknya hingga tersungkur.
Mangsa cuba bangun semula, tetapi belum sempat berbuat demikian, cucunya memijaknya beberapa kali.

Lelaki itu hanya menghentikan perbuatan zalimnya itu selepas mangsa menjerit kesakitan dan merayu tidak disakiti sebelum dia diselamatkan seorang ahli keluarga lain yang menyaksikan kejadian.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Serian pada hari kejadian dan mengesahkan mangsa patah tangan kanan selain cedera di lutut akibat terjatuh, disepak dan dipijak.