Badi Penalti England Belum Berakhir

Itali akan bertemu Jerman di separuh akhir Euro 2012 selepas menewaskan England di sepakan penalti.

Ashley Young dan Ashley Cole gagal untuk menjaringkan sepakan penalti mereka selepas perlawanan tamat tanpa jaringan untuk kedua-dua pasukan walaupun Itali menguasai perlawanan dan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Walaupun perlawanan itu tamat tanpa jaringan, kedua-dua pasukan memulakan dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk membuka tirai.

Rembatan hebat Daniele De Rossi dari luar kotak pada minit ke-3 terkena tiang sebelum percubaan Glen Johnson dari jarak dekat diselematkan oleh Gianluigi Buffon.

Tandukan Rooney kemudian tersasar dan Itali mula meningkatkan prestasi mereka selepas itu.

Mario Balotelli membazirkan satu peluang yang baik sebelum Joe Hart menghalang percubaan Antonio Cassano, yang kelihatan agak mengancam di perlawanan itu dengan rembatan-rembatan dari jauh.

Itali sepatutnya membuka tirai pada minit ke-40 apabila percubaan Balotelli dari jarak dekat sekali lagi tersasar dan separuh masa pertama akhir tanpa jaringan.

Mereka meneruskan dominasi mereka di separuh masa kedua dengan Balotelli dan Ricardo Montolivo membazirkan peluang-peluang baik sekali lagi.

Jurulatih England Roy Hodgson cuba memberangsangkan pasukannya dengan menggantikan Danny Welbeck dan James Milner dengan Andy Carroll dan Theo Walcott tetapi Itali tetap mengusai perlawanan dan mempunyai jauh lebih banyak kawalan bola daripada pasukan Hodgson.

Namun, perlawanan akhir tanpa jaringan dan masa tambahan pertama Euro 2012 dimainkan, di mana Itali sekali lagi mempunyai lebih banyak kawalan bola tetapi tidak dapat membuat serangan yang mengancam selain tandukan Antonio Nocerino yang tidak dibenarkan akibat ofsaid.

Sepakan penalti kelihatan seperti peluang terbaik England untuk memenangi perlawanan ini dan selepas mendahului apabila sepakan Montolivo tersasar, sepakan Young terkena palang sebelum Buffon menyelamatkan sepakan Cole.

Alessandro Diamanti menjaringkan sepakan penalti beliau untuk memberikan kemenangan kepada pasukan Cesare Prandelli.

England XI: Hart, Johnson, Cole, Terry, Lescott, Gerrard, Young, Milner (Walcott), Parker (Henderson), Rooney, Welbeck (Carroll).

Itali XI: Buffon, Balzaretti, Abate (Maggio), Barzagli, Bonucci, Marchisio, De Rossi (Nocerino), Montolivo, Pirlo, Balotelli, Cassano (Diamanti).