Azzurri makin gawat

ZURICH, Switzerland – Rusia menambah derita Itali yang sudahpun bergelut dengan pelbagai masalah apabila membenam skuad Azzurri 3-0 dalam perlawanan pemanas badan terakhir buat kedua-dua pasukan menjelang Kejohanan Eropah (Euro) 2012, semalam.

Sudahlah aksi persahabatan menentang Luxembourg yang dijadualkan Selasa ini dibatalkan kerana gempa bumi yang melanda rantau Emilia Romagna, perlawanan semalam adalah satu-satunya peluang buat jurulatih Itali, Cesare Prandelli untuk menguji pasukannya sebelum Euro membuka kempen di Poland dan Ukraine, Jumaat depan.

Prandelli berharap perlawanan di Zurich dapat membantu pasukannya melupakan insiden hitam yang melanda bola sepak Itali ketika ini apabila ada pemain mereka terlibat dalam skandal mengatur perlawanan, malangnya kekalahan kepada Rusia hanya menjadikan keadaan bertambah buruk.

Dua gol Roman Shirokov dan satu menerusi Alexander Kerzhakov memberi kekalahan ketiga berturut-turut buat juara Piala Dunia 2006 itu, malah mereka mengharungi semua perlawanan itu tanpa menjaringkan gol.

Itali bakal berdepan cabaran getir pada Euro kali ini apabila diletak dalam Kumpulan C bersama penyandang juara Piala Dunia dan Eropah, Sepanyol, Ireland serta Croatia.

Walaupun keadaan Azzurri amat gawat seminggu menjelang Euro, Prandelli cuba bersikap tenang ketika bercakap mengenai pasukannya. “Kami banyak melepaskan bola dan melakukan kesilapan tetapi saya harap semua itu hanya dilakukan malam ini.

“Kami ada enam hari lagi untuk memperbaiki pasukan dan kami kena melakukan perkara yang betul terutama mempersiapkan fizikal pemain. Masalah kami bermula di jentera serangan, namun jika bahagian tengah tidak dapat membantu pertahanan, ia juga mengundang masalah. Isunya sekarang, bukan formasi.

“Lebih baik kami kalah teruk sekarang kerana sekurang-kurangnya semua pemain sedar akan kekurangan dan kelemahan mereka, kami perlu bekerja lebih keras pada kejohanan sebenar,” kata Prandelli.

Perlawanan semalam menyerlahkan wujud jurang ketara dalam kualiti pemain bertaraf bintang dan pemain biasa Azzurri. Jelas sekali, jika Itali mahu melakukan sesuatu di Euro, kekuatan mereka banyak bergantung kepada nama besar seperti Andrea Pirlo dan Mario Balotelli.

Selain dua pemain ini, turut menyerlah dalam skuad Itali cuma orang lama seperti Antonio Cassano serta penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon. – AFP