Azwan Ali : Saya Bukan Nabi

Sebut saja nama Azwan Ali, perkara pertama yang terlintas di fikiran semua tentulah, kontroversi. Azwan yang terkenal dengan mulut laser serta kelantangannya bersuara tidak henti-henti dihimpit dengan kontroversi  apabila sering saja dikaitkan bergaduh dengan pelbagai pihak.

“Jika nak gaduh ke mencarut, itu lumrah kehidupan. Bagi saya, benda ini berlaku di mana-mana saja. Semua orang bergaduh dan mencarut, tapi bila Azwan Ali mencarut, itu dah macam satu kesalahan besar. Saya tak faham apa masalah mereka semua?

“Jangan anggap saya ini Nabi, saya bukan Nabi. Saya juga seperti manusia biasa, tak pernah lari dari melakukan kesilapan. Saya juga ada hati dan perasaan,” ujar Azwan Ali ketika ditemui di rakaman program Galaksi Raya, baru-baru ini.

Umum mengetahui Azwan Ali telah bergaduh dengan Ifa Raziah, malah ini bukan kali pertama mereka bergaduh dan bermaafan. Namun, sewaktu rakaman program hiburan TV9 itu dijalankan, Azwan Ali sekali lagi telah dipertemukan dengan rakan gaduhnya itu yang turut menjadi artis jemputan dalam program tersebut.

Difahamkan, pertemuan tersebut telah diaturkan oleh rakan mereka, Roslan Shah yang membawa Azwan bertentang mata dengan Ifa walaupun sebelum ini, kedua-duanya mengambil keputusan untuk tidak berbaik lagi kerana sudah malas dan tidak kuasa untuk melayan isu ini lagi.

Ditanya kepada Azwan, adakah kemaafan kali ini benar-benar ikhlas dari hati memandangkan sudah berulang kali perkara ini berlaku, Azwan memberitahu, “Itu saya tak nak komen kerana apa yang penting kami telah dipertemukan kembali. Masyarakat tidak perlu tahu kami berbaik secara ikhlas atau tidak kerana itu antara saya dengan dia.

“Saya juga percaya, musuh akan terus melaga-lagakan kami. Apa saja pergaduhan yang berlaku antara saya dengan artis lain, hidup mesti diteruskan. Saya tak berdendam dengan dia, tapi untuk rapat macam dulu, mungkin tidak. Bukan sebab serik, tapi saya lebih berhati-hati.

“Bagi saya, dah tegur sapa dan hormat antara satu sama lain, itu dah cukup. Mungkin kami tak serapat dulu, tapi kami tak berdendam. Saya harap dia juga mempunyai sifat yang sama,” ujar Azwan mengakui sudah tidak layan dengan musuh-musuhnya di Twitter.

“Saya mengaku selepas pulang dari Umrah, saya masih mengamuk di Twitter dengan mereka yang biadab. Tapi, saya sudah berhenti mengamuk sejak minggu lalu atas nasihat kawan-kawan. Mereka menasihatkan saya supaya tidak mengendahkan orang-orang biadab ini serta menganggap mereka tak wujud. Alhamdulillah, baru saya tahu perkara ini membantu saya dan kini, saya tidak layan mereka lagi.”