Annuar Musa saman FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima saman daripada Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa pada Jumaat lalu.

Annuar yang digantung selama dua tahun enam bulan, telah memfailkan saman pemula terhadap badan induk bola sepak negara itu berhubung kes penggantungannya pada 7 Jun lalu.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu digantung selepas melanggar statut FAM iaitu artikel 88 yang mana beliau tidak dibenarkan memberikan kenyataan umum kepada pihak media pada 4 April lalu.

Annuar didakwa mengkritik skuad kebangsaan secara terbuka dan melanggar arahan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Namun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan bahawa tindakan saman tersebut bukan untuk mencabar proses penggantungannya tetapi sebaliknya berkait dengan perlanggaran undang-undang yang dibuat terhadap hukuman ke atas beliau.

Mengulas isu tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihak FAM akan menjalani prosedur undang-undang sebagaimana saman yang dinamakan ke atas FAM sebagai defendan pertama dan beliau sebagai defendan kedua.

Katanya, kes pengurusan akan diadakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 19 Jun ini.

“Sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Ahmad Shah, kita dapat mengesahkan telah menerima saman daripada Tan Sri Annuar Musa dan kita akan ikut proses undang-undang untuk menyelesaikannya.

“FAM akan mengikuti prosedur biasa sebagaimana yang ditetapkan di dalam sistem perundangan kita,” katanya kepada pemberita majlis pelancaran tiket Arsenal menentang Malaysia XII di Bangsar Baru, Kuala Lumpur semalam.

Ditanya mengenai alasan saman tersebut, Azzuddin enggan mengulas lebih lanjut dan tidak mahu membincangkan perkara itu sebelum diputuskan oleh pihak mahkamah.

Sementara itu, Azzuddin turut melahirkan rasa kesal terhadap insiden media yang tidak dibenarkan memasuki kawasan kerja di Stadium Shah Alam ketika perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Singapura, Selasa lalu.

Jelasnya, meskipun memahami peranan penting media, namun beliau berharap agar petugas-petugas media dapat memahami peraturan-peraturan ketika berada di kawasan stadium.

“Daripada apa yang saya baca pada laporan media, ia memohon kelonggaran daripada pihak FAM.

“Namun, FAM dengan dukacitanya dan memohon maaf kerana tidak dapat melonggarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Oleh kerana ini satu perlawanan antarabangsa ketika menentang Singapura, tiap-tiap peraturan yang digariskan oleh FIFA dalam panduan media FIFA, FAM terpaksa patuh dan akur,” ujarnya