Anak Malaysia kembali tembusi benua Eropah

KEJAYAAN arkitek muda berbakat negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor menakluk benua Eropah bukan lagi menjadi satu rahsia.

Pada 22 Mei lalu, pemain kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu sah mengikat kontrak dengan kelab Divisyen Satu Portugal, S.C. Beira-Mar selama tiga tahun.

Sudah pasti, kecemerlangan anak keempat daripada lima beradik itu menembusi pasaran bola sepak Eropah berjaya menerbitkan perasaan teruja dalam kalangan penggiat serta peminat bola sepak tempatan.

Namun mungkin ada segelintir yang terlepas pandang betapa pencapaian anak kepada pasangan Mansor Mustafa dan Normala Nordin itu bukanlah sesuatu yang baharu buat dunia bola sepak negara sebenarnya.

Sejak era 1970-an lagi, beberapa legenda bola sepak tanah air seperti Wong Kam Fook, Chow Chee Keong dan Lim Fung Kee seolah-olah memiliki tenaga yang cukup luar biasa apabila beraksi dalam dua liga berbeza dalam tempoh masa yang sama – Malaysia dan Hong Kong.

Kehebatan pembantu jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich, Lim Teong Kim menyarung jersi kelab Jerman, Hertha BSC Berlin pada era 1980-an juga sesuatu yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kesinambungan itu juga dilihat berjaya diteruskan menerusi pemain-pemain generasi millenium seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari dan terbaharu, Safee Sali.

Meskipun bukan yang pertama, sekurang-kurangnya resume Nazmi kini cukup mahal sebagai antara permata negara yang sedang digilap untuk menyinar seantero dunia.

Cuma setiap permata yang berkilat juga boleh pudar jika tidak kena pada gayanya barangkali.

Sejarah sudah membuktikan segala-galanya. Faktor wang ringgit, kemasyhuran dan anasir-anasir negatif yang lain mampu menjadi ‘racun’ yang tidak pernah diundang.

Situasi itu seharusnya menjadi ‘sempadan’ buat Nazmi jika mahu mengecap kejayaan di rantau orang.

Jiwa harus kental

Penganalisis sukan, Rizal Hashim percaya betapa Nazmi memerlukan satu sistem sokongan yang cukup kuat sepanjang menimba ilmu di Portugal.

Menurut beliau, sejarah segelintir pemain terdahulu yang ‘merengek’ mahu pulang gara-gara merindui suasana kampung halaman tidak mustahil bakal berulang jika Nazmi tidak menerima sokongan sepenuhnya.

“Pemain muda seperti Nazmi memerlukan satu sistem sokongan yang kuat seperti keluarga angkat dari negara kita sebagai tempat rujukan sekiranya dia tidak dapat ditemani ahli keluarga sepanjang berada di sana.

“Pemain bertaraf dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldinho juga membawa ahli keluarga semasa mewakili Barcelona.

“Sebagai contoh, Akhmal Rizal juga ditemani seorang chef dan seorang usahawan semasa berguru di Perancis, sebab itu dia cemerlang menimba ilmu serta menjadi kayu pengukur yang disegani rakan-rakan sepasukan sekembalinya beliau ke Malaysia,” kata Rizal kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Rizal, Nazmi bukan sahaja berdepan cabaran bersama rakan-rakan sepasukan sepanjang mengikuti latihan, malah perlu segera menyesuaikan diri dengan budaya yang pastinya berbeza di Portugal.

“Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada ejen semata-mata jika tidak mahu Nazmi ‘tewas sebelum berjuang’.

“Jiwa Nazmi perlu kental, tambahan pula peluang beraksi dalam liga yang mementingkan aspek teknikal dan bukannya fizikal di Portugal bukannya selalu ada depan mata.

“Saya percaya, Nazmi memiliki kebolehan tersebut dan kekal di sana untuk sekurang-kurangnya dua musim sebelum berhijrah ke saingan liga yang lebih baik seperti Perancis dan Belgium selepas ini,” katanya.

Bapa Nazmi, Mansor juga tidak mahu perjalanan anaknya terhenti sebegitu sahaja meskipun pada awalnya mengakui tidak menyangka pemain berusia 18 tahun tersebut boleh pergi sejauh itu.

“Saya harap ia dapat menjadi batu loncatan buat Nazmi untuk melangkah lebih jauh dan menimba sebanyak mana pengalaman yang mungkin.

“Saya yakin Nazmi tidak mempunyai masalah tinggal di Portugal kerana sejak menuntut di sekolah menengah, dia sudah biasa tinggal berjauhan dengan keluarga,” katanya.

‘Kaka Malaysia’

Penghijrahan Nazmi itu merupakan pengorbanan kedua yang dilakukan pemain tersebut selepas terpaksa ‘melupakan’ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Untuk rekod, nama Nazmi mula meniti di bibir peminat tempatan apabila disenaraikan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta pada 2011.

Sejak itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang. ‘Saham’ Nazmi semakin melambung apabila dia berjaya meledak gol yang cukup cantik dari luar kotak penalti ketika berdepan Bahrain dalam kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 November 2011.

Mungkin, tidak keterlaluan jika ada peminat tanah air yang melabelkan Nazmi sebagai ‘Kaka Malaysia’, namun jurulatih Beira-Mar, Ulisses Morales melihat pemain muda itu persis pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar.

Seorang lagi penganalisis sukan, Serbegeth Singh yang juga lebih dikenali sebagai Shebby pula berasakan gaya permainan Nazmi mirip arkitek negara pada awal 1990-an, Azizol Abu Hanifah.

Shebby turut percaya Nazmi memiliki kriteria secukupnya sebagai seorang bintang.

Shebby sebelum ini dilaporkan berkata, corak permainan yang ditunjukkan Nazmi cukup matang berbanding usianya.

“Setelah sekian lama, kita berjaya memiliki pemain muda berbakat seperti Nazmi yang mampu bersaing dengan skuad senior dan memberikan kelebihan kepada sukan bola sepak negara untuk jangka masa panjang,” kata Shebby yang dipetik menerusi satu laporan portal sebelum ini.

Namun adat pemain bola sepak, pasti ada segelintir peminat yang khuatir skuad negara bakal kehilangan sentuhan Nazmi terutamanya ketika menyertai kejohanan berskala besar kerana komitmennya bersama kelab.

Namun Kim Swee yang lebih mengenali Nazmi ‘luar dan dalam’ percaya itu bukannya satu alasan bagi menghalang mana-mana pemainnya berhijrah ke mana-mana kelab luar.

Kim Swee berkata, masih ramai pemainnya yang dilihat berpotensi mengikuti jejak langkah Nazmi selepas ini seperti mana Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Zakaria yang bakal menjalani ujian bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu bulan depan.

“Pujian harus diberikan kepada Nazmi yang telah banyak berusaha untuk beraksi di Eropah.

“Sejujurnya, saya sangat bangga apabila mengetahui salah seorang pemain muda negara dapat beraksi bersama salah sebuah kelab utama di Portugal.

“Ini menunjukkan hasil usaha FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menghantar pemain-pemain muda beraksi di Slovakia telah membuahkan hasil, seterusnya menutup mulut para pengkritik yang mengatakan ia satu pembaziran,” katanya.

Untuk rekod, Kim Swee merupakan individu bertanggungjawab mencungkil bakat Nazmi apabila mula menyaksikan kelibat pemain itu empat tahun lalu.

“Ramai pihak yang mempersoalkan saya apabila menyenaraikan Nazmi bagi mewakili negara pada Sukan SEA biarpun baru berusia 17 tahun.

“Ada pihak turut mempertikai keputusan saya apabila menurunkan Nazmi ketika menentang Thailand tetapi sejak itu, dia telah dikenali ramai,” katanya.

Ternyata harapan yang digalas Nazmi ketika ini sememangnya cukup besar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Meminjam kata-kata Fadzli yang kini mewakili T-Team kepada pihak media sebelum ini: “Apa yang penting, mentaliti pemain itu sendiri. Kalau hati dan fikiran mereka masih di Malaysia, tidak ada gunanya.”

Apa yang pasti, doa keluarga dan jutaan peminat sentiasa mengiringi kejayaan Nazmi.