Zizan Ditarik Masuk Ke Beruang Comel?

KUALA LUMPUR, 18 MEI 2012: Sungguhpun memberikan saingan sengit, kumpulan Beruang Comel terpaksa akur dengan kumpulan Angsa Ganas apabila penonton Super Spontan (SS) telah menobatkan kumpulan bimbingan Rashid Salleh sebagai juara untuk tiga minggu berturut-turut.

Oleh kerana itu, ahli kumpulan Beruang Comel semakin berkurang dan kini hanya tinggal Johan, Sathiya, Bell dan Ropie untuk menanti gerangan empunya badan yang bakal disingkirkan pada minggu ke lapan SS.

Memandangkan Beruang Comel sudah kurang ahlinya, SS bakal memperkenal sistem stabilizer yang mana salah seorang dari ahli Angsa Ganas akan diserap masuk ke kumpulan ini. Atas dasar itu, nama yang disebut-sebut bakal menyertai Beruang Comel adalah Zizan.

Pun begitu, adakah Zizan mahu berubah ke kumpulan yang dianggotai kawan baiknya Johan?

Sementara itu, peserta yang tersingkir minggu lalu iaitu Yasmin Hani meluahkan rasa terkejut apabila namanya disingkirkan. Namun, dia menerimanya dengan hati terbuka.

Seorang lagi peserta Beruang Comel iaitu Ropie mengakui hampir mengundur diri dari program ini apabila merasakan SS adalah satu program yang sukar disertainya.

Lebih panas lagi, ada desas-desus mengatakan Ropie cemburu dengan Johan kerana penyandang artis komedi popular 2012 ini sering saja menyertai setiap permainan yang disediakan.

Jangan lupa untuk menonton Apa Kata M (AKM) untuk mendapat kepastian bagi setiap soalan yang berbangkit ini. AKM yang dihoskan Ajieb disiarkan setiap Jumaat jam 9.55 malam secara serentak di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Prima (saluran 105).