Zahid mengaku sudah tak popular

SELAMA empat tahun penyanyi bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF), Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid AF, 32, menyepikan diri dalam bidang seni. Cuma, baru-baru ini sahaja dia muncul sebagai penyampai radio Era menggantikan Reza dan program lawak di Astro Warna iaitu Super Spontan.

Begitupun, kehadirannya dalam kedua-dua platform tersebut tidak begitu menyerlah. Lebih-lebih lagi Super Spontan apabila dia menjadi mangsa pertama tersingkir dalam program lawak spontan tersebut.

Bertemu dengan juara Akademi Fantasia musim kedua itu ketika Minggu Setiausaha Zahid bersama pelakon Ady Putra yang berlangsung di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zahid mengakui ‘sejuk’ dalam kerjaya seninya sekarang. Dia juga mengaku sudah tidak popular selain memberitahu dia sedar dulu dirinya mentah sehingga keliru terhadap jalur muzik sendiri. Ikuti perbualan Kosmo! bersama Zahid.

Kosmo!: Selama empat tahun anda menyepi dalam bidang seni. Ke mana anda menghilang?

ZAHID: Saya akui ‘sejuk’ dalam kerjaya sekarang. Puncanya sebab tiada lagu konsisten yang keluar. Malah, penglibatan saya dalam kaca televisyen pun agak terhad. Bukan tiada tawaran, cuma saya terikat sebagai penyampai radio Era. Alhamdulillah, saya masih dijemput untuk menjayakan majlis-majlis persembahan seperti Minggu Setiausaha.

Kalau diikutkan portfolio anda sebagai seorang penyanyi, anda pernah mempunyai album. Namun, kini anda hanya muncul menerusi single sahaja. Kenapa?

Dulu saya begitu muda dan tidak matang. Habis sahaja AF, sudah ada lagu yang tersedia, tetapi hakikatnya jiwa saya bukan ke arah muzik sebegitu. Insya-Allah, saya akan muncul dengan single terbaharu saya pada tahun ini.

Adakah diri anda dipergunakan pihak tertentu?

Bukan dipergunakan, cuma saya tak tahu menentukan lagi arah muzik saya. Sebabnya, saya tidak matang dan masih baharu lagi dalam industri ketika itu.

Genre muzik bagaimana yang anda suka? Adakah single terbaharu nanti boleh dikatakan comeback Zahid dalam bidang muzik?

Jiwa saya ke arah lagu-lagu balada seperti penyanyi seberang, Broery Marantika. Ya, boleh dikatakan single saya nanti merupakan comeback saya dalam bidang seni suara. Bahan sudah ada cuma sedang tunggu rekod saja. Mungkin pertengahan Jun ini keluar.

Beralih pada persembahan anda di Minggu Setiausaha, anda dilihat tidak begitu bersedia menyanyi malah dilihat tidak begitu serius di atas pentas, sedangkan ia adalah sebuah majlis korporat?

Saya mahu jadikan majlis sebegini santai dan tidak terlalu formal. Kalau boleh, saya mahu saja menyanyi di bawah bersama-sama peminat dan tidak perlu menyanyi di atas pentas. Saya juga suka menyelitkan sedikit humor dalam persembahan saya. Tapi, saya akan cuba bataskan jika majlis yang dihadiri adalah dari golongan VIP atau VVIP.

Kenapa anda menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain sewaktu mengadakan persembahan?

Saya rasa tidak sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu saya di majlis sebegini. Lagu-lagu saya kebanyakannya rancak. Lebih sesuai sekiranya saya menyanyikan lagu-lagu yang tengah hit sekarang.

Menyentuh mengenai peribadi pula, bila anda akan menamatkan zaman bujang anda? Khabarnya sudah mempunyai teman wanita baharu selepas putus dengan Nita dulu?

Saya masih belum mempunyai teman wanita. Tapi, memang saya kena cari sebab faktor usia. Usia saya pun sudah menjangkau 32 tahun dan selayaknya untuk berkahwin.

Apakah harapan anda dalam bidang seni?

Saya kecewa selama empat tahun kurang dengan tawaran. Mudah-mudahan tahun 2012 ini adalah tahun yang terbaik untuk saya muncul dan menyinar semula.