Yoo Tidak Puas Hati Terhadap BAM

BEKAS jurulatih beregu lelaki, Yoo Yong-sung tampil menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sebalik isu peletakan jawatan beliau.


Yong-sung menerusi jurubahasanya berkata, kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh bahawa peletakan jawatannya disebabkan badan induk itu tidak dapat memenuhi tuntutan gaji yang diminta adalah tidak benar.

Sebaliknya, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menjelaskan, punca utama beliau meletak jawatan adalah disebabkan BAM tidak memberi peluang kepada dirinya untuk melatih pemain yang sama secara tetap.

“Dalam hal ini, faktor gaji tidak timbul. Jika ingin bercakap soal gaji, saya menerima gaji yang lebih rendah di sini (Malaysia) sepanjang enam bulan dengan BAM, berbanding ketika menjadi jurulatih di Korea Selatan.

“Masalah utamanya ialah BAM tidak memberikan peluang kepada saya untuk melatih pemain yang sama secara tetap. Setiap hari saya melatih pemain yang berbeza dan lebih malang saya hanya ada tempoh 10 hingga 20 minit sahaja untuk melatih mereka.

“Saya tidak kisah jika BAM tidak membenarkan saya melatih pemain utama tetapi sekurang-kurangnya saya mahu melatih pemain yang sama secara tetap, kerana mahu berkongsi pengalaman yang dimiliki dengan pemain,” kata Yong sung ketika sidang akhbar khas yang diadakan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

BAM mengesahkan bahawa Yong sung telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 30 April lalu dan memaklumkan, keputusan tersebut dibuat disebabkan jurulatih itu tidak bersetuju dengan pakej gaji baharu yang di tawarkan.

Mengulas lanjut, Yong-sung memberitahu, beliau ada mengadakan perbincangan dengan pengurusan BAM, namun kedua-dua pihak gagal mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Saya ada mengadakan perbincangan dengan BAM (Chin Chai dan Kenny) mengenai perkara itu tetapi mereka tetap tidak bersetuju dengan permintaan saya.

“Sebab itu saya membuat keputusan untuk meletak jawatan kerana saya sudah tidak gembira berada di Malaysia.

“Sejurus saya mememberitahu mereka yang saya mahu meletak jawatan, mereka terus bertanya kepada saya berapa gaji yang saya mahukan tetapi sekali lagi saya tegaskan yang gaji bukan masalah utama,” jelas Yong-sung.

Beliau turut mendakwa bahawa BAM juga tidak membenarkannya ke Vietnam untuk bersama pemain-pemain muda negara beraksi dalam satu kejohanan pada Mac lalu.

Sepanjang tempoh enam bulan percubaan, BAM pada awalnya memberikan Yong-sung peranan untuk melatih beregu muda negara.

Beliau juga diminta membantu Kim Her serta jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang bagi mengembalikan semula ‘sengat’ Kien Keat-Boon Heong.