United tagih simpati QPR

MANCHESTER – Manchester United tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan bantuan daripada Queens Park Rangers (QPR) dalam misi mereka menjulang trofi Liga Perdana England musim ini.

Atas kertas, peluang skuad kendalian Alex Ferguson itu untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu tampak sukar.

Meskipun berkongsi 86 mata dengan pendahulu, Manchester City, namun United yang berada di tangga kedua ketinggalan dengan perbezaan lapan gol yang dimiliki musuh setempat mereka itu.

Justeru, aksi terakhir liga yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei ini bakal menentukan pasukan manakah yang lebih layak bergelar juara musim ini.

United akan berkunjung ke Stadium of Light untuk berdepan Sunderland, manakala City pula akan menentang QPR di Stadium Etihad.

Untuk bergelar juara liga, anak-anak buah Ferguson perlu menang ke atas Sunderland sambil mengharapkan QPR mampu melakukan keajaiban dengan menewaskan City atau sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri.

“Orang ramai pasti berasa City kini memiliki peluang cerah untuk muncul sebagai juara liga. Saya akui, ia akan menjadi sesuatu yang sukar buat kami.

“Namun, kamu perlu sentiasa berfikiran positif kerana peluang tetap ada untuk kami. QPR berdepan dengan City untuk mencatatkan kemenangan bagi mengelak daripada tersingkir dalam saingan liga utama.

“Memang City merupakan pasukan pilihan untuk menang perlawanan tersebut tetapi QPR tetap memiliki peluang.

“Yang paling penting, kami perlu terus mempamerkan semangat juang tinggi. Diharapkan, perlawanan terakhir nanti bakal menjadi kejayaan besar buat kami,” kata Ferguson.

Terdahulu, skuad The Red Devils terus bersaing dengan City bagi memburu trofi liga apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Swansea City di Old Trafford.

Dua gol United diperoleh menerusi jaringan Paul Scholes pada minit ke-28 dan Ashley Young (41). – AFP