Tunku Abdul Aziz keluar DAP

KUALA LUMPUR 14 Mei – Pemimpin Melayu DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang dikecam hebat pembangkang kerana mengkritik perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi lewat malam ini, beliau berkata, adalah lebih elok dia melepaskan jawatan Naib Pengerusi parti kerana tidak mahu perbalahannya dengan pemimpin DAP lain berlarutan.

“Ya, benar saya telah tinggalkan parti. Saya mengalami masalah dengan DAP dan tidak mahu memanjangkan masalah ini lagi.

“Puncanya adalah Bersih 3.0. Saya tidak menyokongnya kerana ia adalah perhimpunan haram,” katanya.

Tunku Abdul Aziz bagaimanapun berkata, beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti seperti yang didakwa sesetengah pihak.